7 penjaja burger warga asing ditahan

7 penjaja burger warga asing ditahan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan tujuh penjaja burger warga asing membabitkan pemeriksaan terhadap lima gerai burger di tepi jalan sekitar Bandaraya ini, kelmarin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kesemua mereka ditahan menerusi operasi Ops Jaja lebih kurang jam 8 malam.

Katanya tindakan diambil susulan maklumat awam berhubung warga asing yang dipercayai bekerja tanpa pas atau permit yang sah serta berniaga tanpa lesen yang sah.

“Dalam operasi itu, seramai lapan warga asing dan warga tempatan diperiksa. Mereka yang ditahan adalah warganegara Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan India berusia antara 25 tahun hingga 45 tahun.

“Kesemua ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berasingan JIM Johor berjaya menahan seramai 50 orang warga asing pada jam lebih kurang 12.15 tengah malam hingga 1 pagi tadi di Senai, di sini.

Mohd Rusdi berkata tindakan ini diambil susulan maklumat awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit yang sah di lokasi tersebut.

“Dalam operasi tersebut seramai 94 individu diperiksa dan 50 individu dari Myanmar, Nepal dan Indonesia berusia antara 19 tahun hingga 55 tahun ditahan.

“Seorang wanita warganegara Myanmar turut di tahan kerana melindungi PATI. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top