hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan hampir 7,000 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sepanjang Op Selamat 24 sempena Aidilfitri kali ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata Op Selamat 24 akan bermula pada 29 Mac hingga 3 April sebagai langkah awal pencegahan kemalangan, selain melaksanakan kempen kesedaran keselamatan jalan raya.
Katanya, seramai 6,957 pegawai dan anggota akan terbabit dalam penugasan Op Selamat, terdiri daripada 871 pegawai kanan polis dan 6,086 pegawai rendah polis.
“Pegawai dan anggota JSPT akan terlibat dalam penugasan ‘point-duty’, rondaan serta pemantauan di kawasan ‘blackspot’ (titik panas) dan ‘hotspot’ (titik hitam), serta penyuraian kesesakan.
“Selain itu, Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) ditugaskan untuk kes kemalangan ringan di sepanjang lebuh raya, manakala Pasukan Respons Kecemasan (ERT) akan bersedia bagi sebarang kecemasan,” katanya pada Program Advokasi Op Selamat 24 Sempena Aidilfitri 2025 di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini.
Op Selamat 24 akan berlangsung selama enam hari, iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri, dengan tema Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi.
Mohd Yusri berkata, pihaknya juga melakukan pemantauan udara dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM bagi mengawasi kesesakan lalu lintas di lebuh raya serta jalan utama yang dijangka mengalami peningkatan jumlah kenderaan.
Katanya, operasi ini turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St. John Ambulance, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Telekom Malaysia, PLUS Malaysia, dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi blackspot di jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran serta jalan lain, manakala 25 lokasi hotspot dan 46 lokasi blackspot dikenal pasti di lebuh raya utama seluruh negara.
“Pemantauan dibuat secara berterusan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya sekiranya menghadapi masalah seperti kerosakan kenderaan atau kecemasan yang memerlukan tindakan segera oleh JSPT.
“Tindakan penguatkuasaan juga akan diambil terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan bersabar ketika memandu bagi memastikan keselamatan di jalan raya terjamin.
“Pengguna jalan raya juga perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dengan melakukan pemeriksaan fizikal, selain memastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




