71,289 artifak termasuk rangka berusia 16,000 tahun ditemukan di Lembah Nenggiri

71,289 artifak termasuk rangka berusia 16,000 tahun ditemukan di Lembah Nenggiri

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Jabatan Warisan Negara menemukan 71,289 artifak di Lembah Nenggiri yang kini menjadi tapak projek bagi pembinaan Projek Hidro Elektrik Nenggiri.

Penemuan itu adalah hasil kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi menyelamat terhadap 13 gua yang terkesan dengan projek terbabit.

Pengarah Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara Zaharudin Abu berkata, pihaknya berusaha membawa keluar semaksimum mungkin artifak atau jumpaan di tapak Lembah Nenggiri.

Katanya, kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi itu bermula pada Mac 2022 dan berakhir Oktober 2023.

“Berdasarkan laporan terakhir, setakat ini, kita ada 71,289 jumpaan yang sudah dibawa keluar. Ia termasuk tulang, 16 rangka, alat batu, tembikar dan sebagainya.

“Daripada jumlah itu, 16 rangka sudah berada di Jabatan Warisan Negara untuk kerja pemuliharaan, konservasi dan penyelidikan lanjutan. Manakala selebihnya ada yang disimpan oleh pihak TNB. Terima kasih kepada TNB kerana menyediakan tempat untuk kita menyimpan sementara artifak atau jumpaan itu.

“Semua jumpaan bernilai tinggi. Signifikan kepada warisan ialah satu rangka yang lengkap ditemukan di Gua Keledung Kecil yang berusia antara 14,000 hingga 16,000 tahun,” katanya ditemui di Pos Tohoi, di sini.

Menurut beliau, penemuan itu membuka peluang kepada masyarakat untuk menerima sektor eko pelancongan di negeri ini.

Katanya, keadaan ini secara tidak langsung membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat

“Kami juga akan mohon kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mencalonkan rangka manusia Gua Keledung Kecil ini untuk kita wartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Ini satu daripada cara untuk kita memeliharanya. Saya menyeru kepada semua, sekiranya ada jumpaan yang mempunyai signifikan warisan, laporkannya kepada pejabat daerah, pegawai daerah atau pun pesuruhjaya secara langsung,” katanya.

Tambahnya, pihaknya berharap dapat duduk semeja bersama kerajaan negeri dalam usaha mewartakan tapak-tapak warisan yang ada di negeri ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top