75 tahun peristiwa Nakbah

75 tahun peristiwa Nakbah

TANGGAL 15 Mei 2023 menjadi saksi, sudah 75 tahun lamanya Palestin dan tanah suci umat Islam Baitulmaqdis dicemari dengan kebanjiran ekstremis Yahudi Zionis laknatullah.

Peristiwa Nakbah atau Hari Bencana adalah titik hitam dalam sejarah umat Islam apabila 14 Mei pasukan bersenjata Zionis mengisytiharkan penubuhan Negara Israel lalu mencetuskan perang Arab-Israel yang pertama setelah mendapat sokongan Kerajaan British untuk mewujudkan negara Yahudi di Palestin. Pasukan tentera Zionis (Haganah) telah mengusir sekurang-kurangnya 750,000 rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka dan menawan majoriti wilayah Palestin. Maka tarikh 15 Mei dijadikan peringatan terhadap peristiwa hitam ini.

Sayang sekali meskipun puluhan dekad telah berlalu, sinar pembebasan bumi Al Quds kekal malap. Negara-negara Islam yang cuba bangkit ditekan daripada pelbagai sudut seperti tekanan ekonomi dan krisis peperangan. Manakala negara Islam lain pula leka dengan nikmat dunia sehingga sanggup menormalisasikan hubungan dengan Israel.

2023 menyaksikan tekanan semakin tinggi dihadapi umat Islam di Palestin dan Baitulmaqdis. Laporan oleh The United Nations  High Commissioner for Human Rights (UNCHR) menunjukkan terdapat peningkatan proses pengusiran secara sistematik oleh Zionis terhadap umat Islam. Manakala dalam jangka waktu sedekad yang lepas iaitu daripada 2012 hingga 2022, penempatan haram Yahudi di kawasan tanah Palestin telah bertambah dari 520,000 ke 700,000 meliputi kawasan Tebing Barat, Bukit Golan dan Timur Baitulmaqdis.  

Umat Islam khususnya di Malaysia tidak wajar berdiam diri. Meskipun pada peringkat negara dan politik antarbangsa kita masih dalam fasa mengumpulkan kekuatan untuk membebaskan Al Quds, ia tidak sepatutnya menjadi alasan kepada kita untuk mengambil remeh isu Palestin. 

Sesungguhnya kunci kebangkitan ummah terletak pada diri setiap individu Muslim. Sempena Hari Nakbah tahun ini, jangan kita lupakan realiti hitam yang terus melanda tanah suci ke-3 umat Islam ini. Teruskan mengambil tahu perkembangan Palestin. Dalam masa yang sama, siri-siri bantuan kemanusiaan dan kewangan perlu terus disalurkan dengan segenap inci kemampuan kita menerusi NGO-NGO yang sedia ada berkhidmat seperti PAS Relief dan Muslim Care Society Malaysia. 

Peristiwa Nakbah mengajarkan kita soal kepentingan memperkukuhkan asas kesatuan ummah serta kepentingan umat Islam cakna dan sedar dengan usaha licik musuh Islam yang cuba menjatuhkan hegemoni Islam. Sesungguhnya dominasi kukuh Israel di bumi Palestin hingga saat ini bermula daripada sekecil-kecil amalan orang Palestin yang dengan mudahnya menjual tanah Palestin kepada pendatang Yahudi. Jangan kita lupa semua ini. Insya-Allah cahaya kemenangan akan tiba jua akhirnya.

USTAZ NUSHI MAHFUDZ
Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 15/5/2023

Advertisement