Iktibar Perang Hunain

Iktibar Perang Hunain



SEDIKIT perkongsian tentang kuliah berkenaan pengajaran daripada Perang Hunain yang berlaku pada bulan Syawwal tahun ke-8 hijrah.

Advertisement

Sebelum berangkat ke Hunain, tentera Islam kekurangan senjata, lalu Rasulullah SAW memeteraikan kerjasama meminjam senjata secara bayaran dan jaminan dengan beberapa peniaga senjata bukan Islam antara mereka ialah Safwan bin Umayyah dan Nawfal bin Al-Harith.

Tindakan ini menjadi dalil kepada umat Islam bahawa kerjasama dengan orang kafir adalah harus termasuk dalam peperangan menentang musuh Islam.

Perkara ini perlu dilihat secara teliti dan cermat khususnya dari sudut siyasah syar’iyyah dengan melihat juga dalil-dalil lain.

Sebenarnya bukan semua keadaan boleh bekerjasama dengan orang kafir, contohnya dalam Perang Badar; Rasulullah SAW menolak apabila ada dalam kalangan orang kafir mahu menyertai baginda berperang menentang musyrikin Mekah.

Boleh difahami di sini kerjasama orang Islam dengan orang kafir dibolehkan jika sekiranya orang Islam lebih kuat dan menguasai serta memimpin sebagaimana dalam peristiwa hijrah apabila Rasulullah SAW menggunakan Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan walaupun dia seorang musyrik. Adapun jika sekiranya orang Islam lemah dan tidak memimpin maka hendaklah bertahan agar jati diri Islam terpelihara. Wallahualam.

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 15/5/2023