Lombok: Sebanyak 129 rumah di Kampung Desa Adat Sade, Desa Rembitan, daerah Pujut di Lombok Tengah, musnah dalam kebakaran pada malam Sabtu, sekali gus menjejaskan kira-kira 320 penduduk tempatan.
Tinjauan di lokasi kejadian pada 9.30 pagi Ahad mendapati kawasan perkampungan tradisional berkenaan hampir musnah sepenuhnya, dengan kesan kebakaran dikesan dari mercu tanda perkampungan itu hingga ke bahagian atas masjid.
Memetik laporan detikBali, asap masih kelihatan keluar dari timbunan runtuhan, manakala anggota Jabatan Bomba Lombok Tengah, tentera dan kakitangan syarikat bekalan air tempatan bertungkus lumus memadamkan sisa kebakaran.
Beberapa penduduk turut dilihat mencari barangan rumah dan peralatan dapur yang masih terselamat dari kebakaran termasuk pinggan kaca, gelas, dapur memasak dan tong gas.
Selain kediaman penduduk, api turut merebak dan memusnahkan sebuah pasar raya yang terletak di seberang jalan kawasan berkenaan.
Mesin juruwang automatik (ATM) milik bank tempatan yang terletak berhampiran turut dilaporkan hangus dalam kejadian itu.
Penduduk tempatan, Amaq Emi, 43, berkata, kebakaran dipercayai bermula dari salah sebuah dapur rumah penduduk sebelum merebak dengan pantas ke kediaman lain.
“Api mungkin berpunca dari bahagian dapur atau litar pintas yang menyebabkan kebakaran tercetus,” katanya.
Beliau berkata, struktur rumah tradisional di kawasan itu yang menggunakan bumbung lalang serta pagar buluh menyebabkan api merebak dengan pantas.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Menah, 42, menceritakan detik cemas apabila dikejutkan daripada tidur selepas mendapati api sudah marak diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang.
“Saya terkejut dan segera menyelamatkan diri bersama keluarga,” katanya yang kini menumpang di rumah saudaranya.
Menah berharap pihak berkuasa segera menyalurkan bantuan dan mencari penyelesaian berikutan perkampungan adat itu menjadi satu-satunya sumber mata pencarian penduduk menerusi sektor pelancongan.
Katanya, kerugian yang dialami mencecah puluhan juta rupiah termasuk kemusnahan barangan berharga seperti kain tenunan tradisional Suku Sasak dan pakaian adat.
© New Straits Times Press (M) Bhd

