79 senjata tajam ada 'puaka' dirampas polis

79 senjata tajam ada 'puaka' dirampas polis

Alor Gajah: Sebanyak 79 senjata tajam seperti keris, parang, pedang dan tombak yang dikategorikan sebagai senjata berjadual, dirampas daripada stor di pusat perubatan Tabib Adam yang diwartakan sesat di Masjid Tanah, pada 24 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 2 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai anak kandung kepada pengasas perubatan itu.

Bagaimanapun Ashari berkata, Tabib Adam tidak berada di rumah ketika serbuan dilakukan.

“Suspek mendakwa senjata-senjata tajam berkenaan adalah milik bekas pesakit yang pernah datang membuat rawatan di situ. Dia mendakwa senjata itu mempunyai ‘penunggu’ dan tugas pusat rawatan berkenaan adalah untuk ‘membersihkan’ senjata berkenaan.

“Bagaimanapun pesakit tidak mengambil semula senjata-senjata itu selepas proses ‘pembersihan’ dilakukan, dan disimpan di rumah itu selain suspek turut mendakwa sebahagian senjata berkenaan digunakan sebagai ʼpengerasʼ yang diberikan pesakit kepada ayahnya untuk mendapatkan rawatan,” katanya tadi.

Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 manakala suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan bahawa amalan dan aktiviti perubatan Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga atau Pusat Terapi atau apa-apa nama amalan dan aktiviti perubatan Iain dikaitkan dengan Adam Isa dan pengikutnya didapati menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariah.

Amalan dan aktiviti perubatan itu juga bercanggah dengan Garis Panduan Amalan Pengubatan Dan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top