8.5 % usahawan henti operasi akibat pandemik

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuantan: Kira-kira 8.5 peratus usahawan di seluruh negara terpaksa menghentikan operasi selain 58 peratus lagi berdepan dengan pelbagai masalah akibat penularan wabak pendemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelbagai usaha dan inisiatif telah dan sedang dilaksanakan untuk memulihkan usahawan yang terjejas daripada terus berdepan dengan kesulitan.

“Menyedari implikasi besar pandemik ini terhadap usahawan, kementerian telah membangunkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi khusus untuk memastikan kelestarian dan pemulihan perniagaan mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pasaraya Coop Ummah milik Koperasi Ummah Berhad yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Zazali Harun dan Pengerusi Koperasi Ummah Berhad Sabariah Mohd Noor.

Untuk rekod, pelaksanaan fasa pertama pelan itu yang bermula Mei hingga Disember 2020 membabitkan peruntukkan RM171 juta kepada 12,138 penerima manfaat, dengan 96.52 peratus adalah dalam kalangan Bumiputera, manakala fasa kedua mulai Januari hingga Mei 2021 melibatkan peruntukkan RM17.1 juta.

Mas Ermieyati juga berkata terdapat 30 peratus koperasi di seluruh negara dikesan tidak aktif dan SKM sedang mengesan mereka, supaya dapat dibantu untuk kembali aktif.

“SKM sentiasa membantu ahli koperasi yang bermasalah untuk memberikan khidmat nasihat dan bimbingan, termasuk membantu mengubah semula pelan perniagaan mereka sebelum ini yang dikatakan tidak memberi pulangan setimpal.

“Bukan mudah kita nak tubuhkan satu-satu koperasi, jadi sayang kalau dibiarkan ia tidak aktif atau terpaksan ditutup,” katanya.