Pesara kerajaan berputih mata, wang pencen hampir RM100,000 lesap

Pesara kerajaan berputih mata, wang pencen hampir RM100,000 lesap

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang pesara awam berputih mata apabila wang simpanan persaraannya yang mencecah hampir RM100,000 lesap selepas menyertai pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa lelaki berusia 59 tahun membuat laporan Polis di Balai Polis Kuala Terengganu, 8.24 malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang juga pesara kerajaan terjerat dengan tawaran pelaburan tidak wujud melalui iklan di aplikasi TikTok pada 14 Mei lalu.

Katanya, mangsa hanya berhubung dengan sindiket melalui aplikasi Telegram selepas melihat iklan tawaran pelaburan itu dan membuat transaksi bagi menyertai pelaburan yang ditawarkan.

“Selepas menyertai pelaburan itu mangsa diberitahu sudah berjaya mendapatkan keuntungan.

“Bagi tujuan menebus keuntungan yang kononnya sudah diperoleh, mangsa diminta membuat beberapa lagi transaksi ke dalam beberapa akaun berbeza,” katanya.

Beliau berkata, akibat terpedaya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM97,933.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala sumber kewangan adalah wang simpanan pencen mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top