8 dikompaun joging luar kawasan kejiranan

8 dikompaun joging luar kawasan kejiranan

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan kompaun terhadap lapan individu termasuk seorang wanita kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah trek joging dekat Ampang, semalam.

Dalam operasi Pemantauan Ops COVID-19 PKP 3.0 pada jam 5.45 petang itu, individu berkenaan dikompaun selepas didapati berjoging di luar kawasan kejiranan serta tidak mengikut alamat tempat tinggal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata tindakan itu dikenakan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 243/2021 Peraturan- Peraturan Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan).

“Bagaimanapun, susulan kejadian berkenaan tular satu komen oleh seorang lelaki di Facebook yang berunsur fitnah dan jelik kepada pegawai mengeluarkan kompaun berkenaan.

“Pegawai itu yang membuat laporan polis mengatakan kenyataan itu tidak berasas dan mengundang persepsi negatif orang ramai kepada dirinya. Polis Ampang Jaya memulakan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Mohamad Farouk berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 209 kompaun dan membuat tiga tangkapan kerana pelbagai kesalahan ingkar SOP PKP 3.0 dari 12 Mei hingga hari ini.

Antara kesalahan dikesan ialah tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa ditetapkan, tidak amalkan penjarakan fizikal dan joging luar kawasan kejiranan.

“Tujuan penguatkuasaan SOP PKP adalah utk memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini yang meningkat dengan mendadak hingga mencecah lebih 6,000 kes sehari.

“Ini satu perkembangan amat membimbangkan. Kita mesti terus berusaha untuk memutuskan rantaian jangkitan virus itu.

“Polis menyeru orang ramai supaya patuh SOP ditetapkan, selain sentiasa semak dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) apa yang boleh dan apa tidak boleh dibuat sepanjang tempoh PKP yang sedang dikuat kuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top