am@hmetro.com.my
Kajang: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri dihanyutkan arus selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di sebuah kondominium di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa cuba mengambil bola di dalam longkang berkenaan sebelum dibawa arus deras.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.08 malam, dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dipercayai terjatuh ke dalam longkang untuk mengambil bola.
“Ketika kejadian berlaku, arus longkang deras dan disyaki mangsa dibawa arus,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau berkata, ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dilakukan.
“Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor juga digerakkan ke lokasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




