Konsep itqan asas kepada ciri-ciri pekerja terbaik

Konsep itqan asas kepada ciri-ciri pekerja terbaik

Tanggal 1 Mei saban tahun mengingatkan kita kepada jasa dan pengorbanan golongan pekerja dalam membina tamadun dan memakmurkan negara. Namun, dalam perspektif Islam, pekerjaan bukan sekadar rutin mencari nafkah, bahkan ia adalah satu ibadah yang sarat dengan nilai amanah, keberkatan dan tanggungjawab.

Dalam dunia yang semakin mencabar hari ini dengan tekanan kos sara hidup, persaingan kerjaya serta godaan materialisme, persoalan utama yang perlu direnungi ialah adakah pekerjaan kita sekadar menghasilkan rezeki atau benar-benar mendatangkan keberkatan?

Islam mengangkat darjat pekerja yang ikhlas dan amanah. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 105: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) beramallah kamu maka Allah akan melihat amalan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang beriman.”

Ayat ini menegaskan bahawa setiap pekerjaan diperhatikan dan dinilai, bukan hanya oleh manusia, tetapi Allah SWT sendiri. Maka, bekerja dalam Islam bukan sekadar memenuhi KPI atau kehendak majikan, tetapi memenuhi tuntutan ubudiyyah kepada Tuhan.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (bersungguh-sungguh dan terbaik).” (Riwayat al-Bayhaqi)

Konsep itqan ini menjadi asas kepada ciri-ciri pekerja terbaik dalam Islam yakni bukan sekadar bekerja, tetapi dengan penuh komitmen, integriti dan profesionalisme.

Namun realiti hari ini memperlihatkan pelbagai cabaran yang mencabar nilai keberkatan dalam pekerjaan. Terdapat segelintir pekerja yang culas, menyalahgunakan masa, mengambil kesempatan atas jawatan, bahkan terlibat dalam penyelewengan dan rasuah. Fenomena ini bukan sahaja mencemarkan integriti individu, malah merosakkan struktur sosial dan ekonomi masyarakat. Lebih membimbangkan, ia mengundang hilangnya keberkatan dalam rezeki walaupun zahirnya kelihatan banyak.

Al-Quran memberikan panduan yang jelas tentang konsep keberkatan rezeki. Dalam Surah al-A’raf ayat 96, Allah SWT berfirman bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.”

Keberkatan bukan terletak pada jumlah, tetapi pada nilai, ketenangan dan manfaat yang dihasilkan. Rezeki yang sedikit, tetapi berkat lebih menenangkan jiwa berbanding harta melimpah yang penuh syubhah dan dosa.

Ciri-ciri pekerja terbaik menurut Islam dapat dirumuskan melalui kisah Nabi Musa AS dalam Surah al-Qasas ayat 26, apabila salah seorang wanita berkata: “Wahai ayahku, ambillah dia sebagai pekerja, sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” Dua sifat utama yang digariskan ialah al-quwwah (kompetensi/kekuatan) dan al-amanah (integriti/kepercayaan). Inilah prinsip asas dalam pemilihan dan pembentukan pekerja berkualiti.

Dalam konteks semasa, al-quwwah boleh diterjemahkan sebagai kemahiran, ilmu, kecekapan dan kemampuan beradaptasi dengan teknologi serta perubahan semasa. Al-amanah pula merangkumi kejujuran, tanggungjawab, disiplin dan ketelusan dalam setiap urusan. Gabungan kedua-dua elemen ini akan melahirkan pekerja yang bukan sahaja produktif, tetapi juga beretika dan berintegriti tinggi.

Selain itu, Islam turut menekankan pengurusan kewangan yang seimbang sebagai sebahagian daripada keberkatan rezeki. Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 67: “Dan mereka yang apabila membelanjakan (harta), tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bakhil, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara kedua-duanya.”

Ayat ini mengajar kita bahawa rezeki yang diperoleh perlu diurus dengan hikmah iaitu tidak boros, tidak kedekut, tetapi sederhana dan berhemah.

Dalam dunia moden, ramai pekerja terperangkap dalam gaya hidup berlebihan demi mengejar status dan pengaruh. Gaji tinggi tidak lagi menjamin ketenangan jika diurus tanpa panduan syarak. Hutang yang menimbun, perbelanjaan tidak terkawal serta ketagihan kepada kemewahan menjadi punca tekanan hidup. Justeru, kembali kepada prinsip al-Quran dan sunah dalam mengurus wang adalah jalan terbaik untuk mencapai keseimbangan hidup.

Rasulullah SAW juga mengingatkan tentang tanggungjawab dalam mengurus harta. Baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang hartanya, dari mana dia peroleh dan ke mana dia belanjakan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini memberi peringatan setiap sen yang diperoleh dan dibelanjakan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Selain wang, pengaruh dan pangkat juga ujian besar dalam dunia pekerjaan. Ramai yang terpesona dengan kuasa sehingga lupa tanggungjawab. Dalam Islam, kepemimpinan bukanlah keistimewaan, tetapi amanah yang berat. Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepemimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka, pekerja yang memegang jawatan perlu sedar bahawa setiap keputusan dan tindakan mereka memberi kesan kepada orang lain.

Dalam suasana masyarakat hari ini, peranan pekerja amat besar dalam membentuk keluarga dan komuniti. Seorang pekerja yang amanah akan membawa pulang rezeki yang halal, seterusnya membina keluarga sejahtera. Sebaliknya, pekerja yang lalai dan tidak jujur akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada generasi akan datang. Keberkatan dalam pekerjaan akan melahirkan masyarakat yang stabil manakala kehilangan keberkatan akan membawa kepada keruntuhan nilai.

Tadabbur terhadap ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW memberikan panduan yang jelas bahawa pekerjaan adalah medan ujian serta peluang untuk meraih pahala. Ia bukan sekadar soal dunia, tetapi berkait rapat dengan akhirat.

Justeru, pekerja Muslim perlu sentiasa memperbaharui niat, memperbaiki amalan, dan menjadikan al-Quran serta sunah sebagai rujukan utama dalam setiap aspek kehidupan.

Kesimpulannya, sempena Hari Pekerja yang disambut setiap 1 Mei lalu, marilah kita merenung kembali makna sebenar pekerjaan dalam Islam. Jadilah pekerja yang bukan sahaja mengejar rezeki, tetapi mengejar keberkatan. Bekerjalah dengan itqan, amanah dan ihsan. Uruslah rezeki dengan bijaksana, jauhi pembaziran dan penyelewengan. Gunakan pengaruh dan pangkat sebagai alat untuk memberi manfaat, bukan untuk kepentingan diri semata-mata. Dengan itu, kita bukan sahaja membina kerjaya yang berjaya, tetapi juga menyumbang kepada pembentukan ummah yang berintegriti, sejahtera dan diberkati Allah SWT.

Moga Allah menjadikan kita pekerja yang amanah, bertanggungjawab dan berintegriti dalam menjalankan pekerjaan seharian kita hingga akhir umur persaraan. Amin Ya rabb.

Penulis pensyarah Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top