’80 peratus Ahli Parlimen blok pembangkang sokong Hamzah kekal ketua’- Saifuddin

’80 peratus Ahli Parlimen blok pembangkang sokong Hamzah kekal ketua’- Saifuddin

SHAH ALAM – Pengumuman Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah wajar kerana selari dengan pendirian majoriti Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Abdul Hadi hanya menyatakan pendirian rasmi Pas sebagai parti yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar dalam blok pembangkang dan sememangnya berhak menyatakan pendiriannya mengenai kepimpinan blok berkenaan.

“Pengumuman tersebut dibuat selepas Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan keputusan dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berkaitan.

“Maka landskap dan dinamika dalaman pembangkang telah berubah berbanding keadaan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini Abdul Hadi ketika Konvensyen Reset Malaysia pada Sabtu mengumumkan Hamzah kembali menjadi Ketua Pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang memaklumkan, Pas dan Gerakan Reset bersetuju mengekalkan Hamzah dan keputusan itu dibuat secara musyawarah dalam Pas dan Ahli Parlimen.

Selain itu, Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dikekalkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan, Pas sejak awal lagi konsisten menyokong Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebagai Ketua Pembangkang dan mahu beliau terus dikekalkan dalam jawatan termasuk selepas dipecat daripada Bersatu.

“Hakikatnya pada hari ini, 43 Ahli Parlimen Pas dan 19 Ahli Parlimen yang menyokong Hamzah mahu beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang. Ini bermakna kira-kira 80 peratus Ahli Parlimen dalam blok pembangkang menyokong kedudukan beliau.

“Oleh itu adalah tidak tepat untuk mendakwa Pas membelakangkan PN, sebaliknya Pas hanya menyatakan pendirian yang selari dengan kehendak majoriti besar Ahli Parlimen pembangkang,” ujarnya.

Sementara itu mengulas dakwaan tindakan Abdul Hadi itu menggambarkan bayangan ‘kuasa mullah’, bekas Menteri Luar itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai pengulangan propaganda lama yang sengaja dimainkan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Beliau menjelaskan dalam sistem demokrasi berparlimen, legitimasi seseorang pemimpin bergantung kepada sokongan majoriti dan bukannya persepsi atau sentimen politik.

“Jika sesuatu keputusan hendak dibuat secara demokratik dalam blok pembangkang, suara majoriti mestilah dihormati.

“Dalam keadaan majoriti besar Ahli Parlimen pembangkang masih menyokong Hamzah, adalah logik dan munasabah untuk beliau terus kekal sebagai Ketua Pembangkang,” ujarnya.

Scroll to Top