BN tidak guna pendekatan serang individu dalam kempen pilihan raya

BN tidak guna pendekatan serang individu dalam kempen pilihan raya

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil pendekatan menyerang individu atau mana-mana parti politik sepanjang kempen pilihan raya yang akan datang, sebaliknya akan menumpukan agenda rakyat dan dasar lebih baik bagi menyantuni isu rakyat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peringatan itu telah diberikan kepada jentera BN di semua peringkat termasuklah akar umbi.

“Jentera parti di semua peringkat telah diingatkan supaya fokus kepada usaha menyantuni rakyat dan memahami keperluan mereka, berbanding menyerang individu atau parti politik.

“Saya telah beritahu jentera parti di peringkat nasional, Johor dan negeri-negeri lain yang akan menghadapi pilihan raya supaya mengambil pendekatan berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Zikir di Masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.

Tambah Presiden UMNO itu, pendekatan sama akan diteruskan walaupun calon-calon BN dan kepimpinannya menjadi sasaran pihak lawan.

“Seboleh mungkin kita tidak menyerang mana-mana pihak. Jika diserang, kita akan menjawab, tetapi bukan untuk menyerang mana-mana pihak,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top