am@hmetro.com.my
Tumpat: Pengguna mempunyai hak untuk melihat sendiri proses timbangan ayam ketika urus niaga dilakukan bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan oleh peniaga.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya menerima aduan sejak dua bulan lalu mengenai peniaga yang menghalang pelanggan melihat proses timbangan ayam dengan meletakkan alat penimbang di lokasi terlindung.
Menurutnya, ada juga peniaga yang mempamerkan harga yang tertera di penimbang tidak sama dengan berat sebenar melalui cara tersendiri.
“Sepanjang tahun ini kami menerima 29 aduan berkaitan peniaga ayam dan melalui hasil tindakan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan, sebanyak 60 kes tindakan undang-undang sudah direkodkan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat iaitu peniaga menggunakan alat timbang sukat tidak ditentusahkan serta tamat tempoh.
“Tujuh kes lagi membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga di bawah pelanggaran Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hanif Yusabra berkata, empat kes lagi turut diambil tindakan membabitkan harga mengelirukan dikenakan kepada pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Terdahulu beliau hadir membuat tinjauan di stesen minyak di Pengkalan Kubor, di sini, sempena Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya memperhebatkan pemantauan terhadap rantaian bekalan dan harga barangan menerusi pelaksaan Ops Kesan 6.0 yang bermula 1 Jun lalu sehingga 31 Ogos ini bagi memastikan tiada sebarang unsur manipulasi harga terhadap pengguna.
Katanya lagi, melalui pemeriksaan 25 premis perniagaan di seluruh negeri ini yang diperiksa, sebanyak 25 notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dikeluarkan kepada peniaga membabitkan 85 Unit Penyimpanan Stok (SKU).
“Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah selain mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Sektor pertanian mencatatkan SKU tertinggi yang diperiksa iaitu sebanyak 58 membabitkan pelbagai jenis sayuran diikuti sektor Petrokimia (16) serta baja pertanian dan pembungkusan plastik (8),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




