Ee Wei anggap kecederaan satu hikmah

Ee Wei anggap kecederaan satu hikmah

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei mengakui sedang melalui tempoh mencabar apabila berdepan kecederaan, namun dia tetap komited menjalani proses pemulihan tanpa mengambil pendekatan berehat sepenuhnya.

Menurutnya, walaupun kecederaan yang dialami memerlukan masa untuk pulih, dia kini memberi tumpuan penuh kepada program rehabilitasi dan latihan yang disusun oleh pasukan perubatan bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.

Katanya, dia tidak boleh sekadar berehat kerana mahu memastikan tahap kecergasannya kekal berada pada tahap terbaik sepanjang tempoh pemulihan.

“Saya tak boleh hanya rehat sahaja. Walaupun mungkin nanti perlu menjalani pembedahan, saya tetap teruskan proses ini supaya pemulihan boleh berlaku dengan lebih cepat,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu turut melihat ujian yang dihadapinya dari sudut positif dan menganggap ia sebagai peluang untuk menjadi lebih kuat daripada sebelumnya.

“Saya rasa setiap perkara berlaku ada sebab. Mungkin ini masa untuk saya berehat seketika sebelum kembali dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ee Wei menegaskan dia sentiasa berpegang kepada arahan yang diberikan jurulatih dan pakar fisioterapi bagi memastikan proses pemulihannya tidak terganggu.

Pada masa sama, dia menolak tanggapan bahawa kecederaan yang dialami memberi kesan terhadap berat badannya kerana masih mengekalkan disiplin dalam aspek pemakanan.

“Tak naik pun sebab saya jaga diet. Saya fokus pada apa yang saya boleh kawal sekarang,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan Ee Wei masih enggan mengalah terhadap peluang mempertahankan gelaran dunia biarpun kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang dialaminya dijangka memerlukan tempoh panjang untuk pulih sepenuhnya.

Kejohanan Dunia akan berlangsung di New Delhi dari 17 hingga 23 Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top