80 peratus liputan 5G dalam masa setahun

80 peratus liputan 5G dalam masa setahun

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

U Mobile Sdn Bhd, pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia, menyasarkan untuk mencapai 80 peratus liputan dalam tempoh 12 bulan selepas perkhidmatan itu mula dilancarkan bermula separuh kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, sasaran agresif itu diyakini mampu dicapai menerusi pelantikan Huawei Malaysia dan ZTE Malaysia sebagai rakan teknologi strategik bagi pelaksanaan rangkaian 5G generasi seterusnya di Malaysia.

“Huawei dan ZTE akan memainkan peranan penting dalam membantu U Mobile mencapai matlamat peluasan rangkaiannya. Kami menyasarkan untuk mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk dalam tempoh 12 bulan pertama selepas pelaksanaan rangkaian bermula, dan seterusnya mencapai 90 peratus liputan dalam tempoh 12 bulan berikutnya.

“Langkah ini sejajar dengan strategi keseluruhan U Mobile untuk mempercepatkan penerapan teknologi 5G dan 5G-A di negara ini, dengan memberi tumpuan khusus kepada sokongan terhadap sektor perusahaan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian pelantikan rakan teknologi 5G, semalam.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dan Setiausaha Parti bagi Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China, Li Lecheng.

Yang turut hadir, Pengerusi U Mobile, Tan Sri Vincent Tan.

Sementara itu, Tan dalam ucapannya berkata, proses pemilihan vendor rangkaian itu telah dijalankan secara teliti dan telus bagi memastikan U Mobile dapat mengenal pasti rakan teknologi yang paling sesuai dengan keperluan khusus syarikat memandangkan tanggungjawab ini amat signifikan kepada syarikat.

“Huawei dan ZTE membuktikan kemampuan mereka untuk membantu U Mobile mencapai sasaran liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk dalam tempoh setahun, selain menyediakan infrastruktur yang tepat bagi menyokong perkhidmatan dan penyelesaian 5G serta 5G-A yang inovatif untuk pengguna dan perusahaan.

“Huawei dan ZTE bukanlah nama asing bagi U Mobile. Kedua-duanya adalah rakan jangka panjang kami dalam infrastruktur, malah turut memiliki rekod pencapaian kukuh dalam pelaksanaan rangkaian di peringkat global. Justeru, kami teruja untuk melangkah ke era 5G bersama Huawei dan ZTE.

“Berdasarkan perancangan, Huawei akan bertanggungjawab ke atas pelaksanaan rangkaian 5G di Semenanjung Malaysia manakala ZTE akan mengendalikan pelaksanaan di Malaysia Timur,” katanya.

Beliau menambah, U Mobile turut merakamkan penghargaan kepada Fahmi atas keyakinannya terhadap syarikat serta kepimpinan beliau dalam memperkenalkan model dwi-rangkaian 5G.

“Inisiatif ini adalah satu langkah besar ke hadapan dalam merealisasikan matlamat transformasi digital Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital. Usaha ini dijangka merangsang inovasi teknologi, meningkatkan keterangkuman serta mempercepat kemajuan negara.

“Pandangan jauh kerajaan MADANI dalam memperkenalkan model dwirangkaian 5G akan membolehkan penglibatan lebih meluas dalam kalangan pemain industri, menggalakkan persaingan sihat serta merangsang inovasi yang akhirnya membawa kepada peningkatan kualiti dan mutu perkhidmatan.

“Hasilnya, rakyat Malaysia akan menikmati pengalaman rangkaian 5G yang lebih baik dan mampu milik secara menyeluruh. Sebagai Pengerusi U Mobile, saya amat berbesar hati kerana syarikat kini dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam inovasi digital dan keterhubungan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top