Istanbul: Media Turkiye melaporkan legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos sudah memeluk Islam selepas mengadakan pertemuan dengan Sheikh Jihad Hamadeh di Brazil kira-kira empat minggu lalu. Namun, bekas pemain itu belum memberikan pengesahan secara langsung mengenai laporan berkenaan.
Menurut beberapa akhbar Turkiye termasuk Haberler, Roberto Carlos, 53, sudah lama berhubung dengan Sheikh Jihad Hamadeh sebelum bertemu dengannya di Brazil kira-kira empat minggu lalu. Carlos didakwa melafazkan syahadah dan mengisytiharkan pengislamannya dalam pertemuan tersebut.
Laporan itu mendapat perhatian lebih meluas selepas Ahli Parlimen Parti Keadilan dan Pembangunan Turkiye, Ali Sahin, berkongsi mengenai pertemuannya dengan anggota komuniti Islam di Brazil.
Sahin menulis di X bahawa dia bertemu Sheikh Jihad Hamadeh yang menetap di Sao Paulo ketika mengunjungi Kesatuan Kebajikan Belia Islam Brazil. Beliau turut menyatakan Hamadeh disenaraikan antara 500 tokoh paling berpengaruh dalam dunia Islam.
Ahli Parlimen Turkiye itu berkata Sheikh Hamadeh memberitahunya bahawa Roberto Carlos, yang disifatkan sebagai antara legenda bola sepak terhebat Brazil dan dunia, sudah lama berhubung dengannya sebelum mengunjunginya empat minggu lalu, melafazkan syahadah dan memilih Islam.
Sahin turut mengucapkan tahniah kepada Roberto Carlos serta mendoakan dia dan keluarganya “menjalani kehidupan yang dipenuhi kedamaian, kesihatan dan keberkatan”.
Laporan mengenai pengislaman itu muncul ketika gambar Roberto Carlos pada majlis perkahwinannya dengan wanita Maghribi, Souhaila Tahiri, kembali tersebar.
Souhaila merupakan ejen pemain berlesen FIFA yang terlibat dalam pengurusan pemain serta pelbagai projek berkaitan bola sepak.
Walaupun gambar perkahwinan mereka kembali tular pada 17 Ogos lalu, perkahwinan itu sebenarnya bukan perkara baharu. Maklumat mengenai hubungan mereka mula muncul seawal Januari lalu sebelum pasangan itu mengadakan majlis kecil yang hanya dihadiri keluarga dan rakan rapat pada 25 Julai.
Laporan menyebut hubungan Roberto Carlos dan Souhaila Tahiri bermula secara profesional sebelum berkembang menjadi hubungan peribadi. Kedua-duanya masih bekerjasama dalam projek pengurusan pemain antara Brazil dan Eropah.
Roberto Carlos dianggap antara pertahanan terbaik dalam sejarah bola sepak selepas menikmati karier cemerlang bersama Real Madrid dan skuad kebangsaan Brazil, selain pernah beraksi di Turkiye bersama Fenerbahce.
© New Straits Times Press (M) Bhd

