84 orang mengaku salah menggunakan kad pengenalan palsu

84 orang mengaku salah menggunakan kad pengenalan palsu

am@hmetro.com.my

Kulai: Seramai 84 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan atas nama orang lain, Isnin lalu.

Majistret R Salini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 masing-masing ke atas 83 tertuduh atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda.

Seorang lagi tertuduh dikenakan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh tangkap iaitu Isnin lalu.

Hukuman diputuskan selepas semua tertuduh yang juga warga Filipina dan Indonesia termasuk seorang yang mengaku warga tempatan, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Semua tertuduh didakwa tanpa kuasa yang sah didapati menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan atas nama orang lain sebagai dokumen pengenalan diri di sebuah kilang dekat Taman Teknologi Johor, Senai, di sini kira-kira 5 petang, Isnin lalu.

Mereka yang berusia antara 18 hingga 53 tahun didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zulkarnain Ahmad, Mohd Ramzi Adnan, Noorlelawathi Man, Izzul Zakwan Zulkeflee, Nurul Nadiah Zainal Abidin dan Mohd Shazlan Hafizi Mat Yaacob.

Sementara 20 tertuduh diwakili Peguam Jihad Syahida Nadia Zakaria, peguam Norasykin Md Jabarulla mewakili 30 tertuduh, manakala bakinya diwakili peguam Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pasukan pegawai JPN Putrajaya menjalankan operasi pemeriksaan dokumen pengenalan diri di kilang berkenaan dan semua tertuduh yang ditahan telah mengemukakan salinan kad pengenalan atas nama individu lain untuk bekerja.

Hasil semakan dengan rekod JPN mendapati ada maklumat kad pengenalan dikemukakan tidak merujuk kepada tertuduh, manakala ada cap ibu jari dan kad pengenalan tidak wujud dan tidak pernah dikeluarkan JPN kepada mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top