Kantoi seludup imigran ketika isi minyak

Kantoi seludup imigran ketika isi minyak

am@hmetro.com.my

Kuching: Cubaan seorang lelaki warga Indonesia menyeludup dua rakan senegara memasuki Sarawak secara haram gagal selepas perbuatan itu dikesan ketika dia mengisi minyak di sebuah stesen di Bau, kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Suspek berusia 37 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kota Samarahan menyewa kereta jenis Perodua MyVi itu dari penduduk tempatan dengan kadar sewa RM100 sehari.

Dia kemudiannya menggunakan kereta sewa itu untuk membawa dua rakan senegara ke Kuching selepas mereka memasuki Sarawak secara haram melalui jalan tikus di Biawak.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, kegiatan suspek terbongkar selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuat tugas pemantauan dalam Op Tiris di stesen minyak terbabit mengesan sesuatu yang mencurigakan.

Beliau berkata, anggota PGA terbabit melakukan pemeriksaan dan mendapati warga Indonesia yang memandu kereta sewa itu memiliki pasport yang sah, bagaimanapun dua penumpangnya iaitu pasangan suami isteri, tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

“Sebelum itu, kira-kira jam 8 pagi semalam suspek yang berasal dari Singkawang, Kalimantan Barat itu dihubungi seorang lelaki warga Indonesia untuk mengambilnya bersama isterinya di Biawak, Lundu untuk dibawa ke Kuching.

“Suspek kemudian menyewa sebuah kereta melalui laman sosial Facebook sebelum bergerak ke lokasi berkenaan dan menjemput pasangan terbabit di tepi jalan berhampiran Pos Imigresen Biawak pada jam 4 petang sebelum memandu menuju ke Kuching,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Haide berkata, dalam perjalanan, mereka singgah di stesen minyak untuk mengisi petrol sebelum ditahan pihak berkuasa yang menjalankan operasi pemeriksaan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua penumpang yang berasal dari Nusa Tenggara Barat, Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan awal turut mendapati suspek dijanjikan upah RM500 oleh pasangan berkenaan bagi membawa mereka ke Kuching,” katanya.

Menurutnya lagi, pasangan suami isteri itu mengaku memasuki Malaysia menggunakan laluan tidak sah melalui ladang kelapa sawit sebelum tiba berhampiran Pos Imigresen Biawak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top