9 juta pencarum dilindung 24 jam berkuat kuasa hari ini

9 juta pencarum dilindung 24 jam berkuat kuasa hari ini

SHAH ALAM – Lebih 9 juta pencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik akan dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bermula hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, skim LINDUNG 24 Jam itu menyediakan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.

“Pelaksanaan skim bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini adalah secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada, tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.

“Bagi individu yang baru diambil bekerja dan melapor diri selepas 1 Jun 2026, majikan wajib mendaftarkan pekerja tersebut mengikut prosedur sedia ada melalui sistem PERKESO,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, caruman LINDUNG 24 Jam itu ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji bagi maksud caruman iaitu RM6,000.

Jelasnya, untuk permulaan, kadar caruman permulaan adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan dan majikan bertanggungjawab menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman ini setiap bulan.

“Pembayaran caruman perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan perlindungan tanpa gangguan, di samping memudahkan pematuhan oleh majikan dan pekerja.

“Menerusi skim LINDUNG 24 Jam, PERKESO memperuntukkan lapan faedah demi kelangsungan dan kebajikan pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, serta Faedah Orang Tanggungan.

“Selain itu, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work (RTW), serta Faedah Pendidikan bagi menyokong masa depan waris,” katanya lagi.

Ramanan menyifatkan perluasan perlindungan itu adalah selari dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta amalan terbaik antarabangsa dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja.

Katanya, usaha terbaharu dirintis PERKESO itu menjadikan jaringan keselamatan sosial negara kini lebih menyeluruh, dinamik dan relevan dengan realiti semasa pasaran buruh.

“Usaha ini menyokong aspirasi Malaysia Madani dalam menjamin kebajikan serta kesejahteraan tenaga kerja negara.

“Sebarang permohonan faedah boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal LINDUNG Faedah di pautan https://lindungfaedah.perkeso.gov.my/ atau hadir terus ke pejabat PERKESO berhampiran,” katanya.

Scroll to Top