norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun kurang mendapat liputan dan perhatian, namun kumpulan Gerhana Ska Cinta yang memperjuangkan muzik ska, rock steady dan reggae kini sudah 27 tahun berada dalam industri.
Dianggotai lapan ahli iaitu Edy J sebagai pemain gitar dan vokalis, Widy, Bakri (pemain dram), Fairuz (keyboard), Skaloot (basis), Farin (tenor saxophone), Nadzmi (alto saxophone, dan Weed (trumpet), kumpulan ini bersyukur masih aktif.
Widy berkata, meskipun semua anggota Gerhana Ska Cinta mempunyai kerjaya tetap masing-masing, tetapi bermain muzik adalah minat dan mahu berkongsi hiburan dengan pendengar.
“Memang kami (Gerhana Ska Cinta) masih lagi aktif dalam industri sampai sekarang, dan tawaran persembahan pun banyak diterima termasuk di luar negara seperti Singapura. Syukur Alhamdulillah.
“27 tahun Gerhana Ska Cinta, macam itulah kami bila acap kali dapat panggilan show, kami akan sama-sama berlatih, kerana kalau diikutkan kami semua sibuk dengan karier masing-masing.
“Jadi, bila ada show baru kita dapat berkumpul ramai-ramai. Dari situ, kami makin rapat, dan ‘chemistry’ pun sudah 27 tahun, semua orang kenal masing-masing. Ditambah, kami semua memang minat muzik.
“Kita enjoy, kita hargai muzik. Sebab itu, kami semua masih kekal bersama. Kalau tidak minat (muzik), mungkin tiga hingga empat tahun sahaja kami (Gerhana Ska Cinta) boleh bertahan,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, berlangsung majils sidang media Tabik!!! Kuasa Tiga yang menggabungkan karya pengenalan XPDC serta penyampaian anugerah penghargaan kepada Gerhana Ska Cinta dan The Times di Odeon KL.
Mengulas lagu-lagu Gerhana Ska Cinta yang diterima baik oleh penyiar radio di luar negara seperti Amerika Syarikat, Sepanyol dan Maxico, Edy J berkata, sebab mungkin muzik ska ini kurang popular di Malaysia.
“Tetapi, situasi pendengar berbeza di luar negara yang mana muzik ini (ska) lebih diterima, dan perjuangan muzik kami sangat dihargai sebab lagu kita pula dicampur aduk dengan elemen nusantara gaya Malaysia yang disukai ramai.
“Penerimaan lagu-lagu kami memang agak bagus (di luar negara), dan satu lagi sebabnya ialah mungkin perbezaan budaya. Ia terjadi sebab mungkin kita ada platform (penyiaran lagu) tetapi kurang sokongan,” luahnya.
Tambah Edy J, dengan adanya kemudahan media sosial dan platform digital seperti YouTube sekarang banyak membantu untuk senangkan perkongsian karya lagu dihasilkan kepada pendengar.
Pada majlis istimewa itu, Gerhana Ska Cinta turut menyiarkan muzik video lagu Ali Baba Ska dan Rasa Sayang yang jelas menunjukkan karya lagu ska juga memiliki kelompok peminat tersendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




