Honda City dipandu melulu hingga berlaku kemalangan: Pemandu disahkan positif dadah

Honda City dipandu melulu hingga berlaku kemalangan: Pemandu disahkan positif dadah

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Pemandu Honda City yang dirakam memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan lain di Kilometer 25, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, hari ini, didapati positif dadah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kemalangan jam 7.45 pagi itu dipercayai berlaku apabila Honda City dipandu lelaki warga tempatan berusia 39 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban.

“Siasatan mendapati pemandu terbabit memandu secara berbahaya sehingga melanggar belakang sebuah motosikal Modenas Kriss.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit tidak memberhentikan kereta, sebaliknya terus memandu secara melulu sebelum melanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan ketika melalui satu selekoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan tular satu rakaman memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Tanjung Ipoh, di sini, sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Video berdurasi 58 saat itu mulai tular sejak pagi hari ini memaparkan Honda City dipandu seorang lelaki dalam keadaan berbahaya.

Alzafny berkata, akibat pelanggaran itu, Honda City berpusing dan melintang di tengah jalan.

“Pada masa sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang melalui laluan berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta itu.

“Akibatnya, pemandu Honda City patah tangan, manakala penunggang motosikal cedera ringan,

“Mangsa lain yang terbabit kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dibuat di Hospital Kuala Pilah mendapati pemandu Honda City positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil pemeriksaan kenderaan menjumpai satu peket plastik mengandungi serbuk putih lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin,” katanya

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top