9 suspek kes tembak Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dibebaskan, 2 masih direman

9 suspek kes tembak Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dibebaskan, 2 masih direman

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Sembilan daripada 11 suspek yang ditahan susulan insiden tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam pada 25 Februari lalu, dibebaskan manakala dua lagi masih direman.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian itu, pihaknya melakukan 11 tangkapan di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, semua tangkapan itu membabitkan 10 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand yang kesemuanya berusia antara 22 hingga 60 tahun.

“Daripada jumlah sembilan yang dibebaskan itu, tujuh daripada mereka diberikan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah dan dua lagi diberi jaminan polis.

“Dalam pada itu, daripada sembilan yang dibebaskan itu, enam daripadanya dituduh di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana positif dadah.

“Setakat ini dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adzli berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan dan meneliti semua keterangan bersabit insiden jenayah itu.

Beliau berkata, usaha membawa suspek yang bertanggungjawab ke muka pengadilan masih diteruskan setakat ini.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkan terus kepada pihak polis melalui talian MERS 999 atau menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Rosli Hanafi di talian 019-2022210 atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kenderaan Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal pagi pada 25 Februari lalu.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat daripada terkena peluru selepas tembakan dilepaskan suspek tidak dikenali.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang walaupun tiada kecederaan berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top