Tukang cuci tak mengaku laku amang seksual, cederakan kanak-kanak

Tukang cuci tak mengaku laku amang seksual, cederakan kanak-kanak

am@hmetro.com.my

Mersing: Seorang tukang cuci dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan melakukan perbuatan amang seksual fizikal dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak, minggu lalu.

Tertuduh, Sharil Chik, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di sebuah kediaman di Kampung Sri Pantai di sini, kira-kira jam 8.30 malam, 5 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017, selain Seksyen 26(1), Seksyen 27(1) dan Seksyen 26(A) AKSTK 2017.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan cara mencubit di bahagian pipi kanak-kanak berkenaan pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nursyafiq Abd Halim tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh turut menjalani prosiding perbicaraan kes seksual membabitkan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia 10 tahun di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi.

Mahkamah kemudian bersetuju dengan pihak pendakwaan dan tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh sebelum menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top