am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Status pengoperasian sekolah akan ditentukan berdasarkan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setiap hari, susulan situasi jerebu yang masih berterusan di negara ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, Pengarah Pendidikan Negeri (PPN) diarahkan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Pemantau Jerebu membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Jawatankuasa itu akan memantau indeks IPU jerebu mengikut ketetapan masa pada setiap hari.
“Berdasarkan maklumat dan data oleh jawatankuasa berkenaan, PPN memutuskan sama ada sekolah beroperasi seperti biasa atau melaksanakan kaedah Belajar Dari Rumah (BDR) menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya pada hari ini.
Menurut kenyataan KPM, pengumuman status pengoperasian sekolah akan dibuat sebelum 2.45 petang pada Sabtu bagi sekolah dalam Kumpulan A, dan Ahad bagi sekolah dalam Kumpulan B.
Katanya, pengumuman lebih awal itu bagi memudahkan urusan ibu bapa, penjaga dan murid, khususnya mereka yang perlu pulang ke asrama atau sebaliknya.
“Sementara pada hari-hari lain, PPN akan memaklumkan status pengoperasian sekolah sebelum jam 5.45 petang berdasarkan bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.
KPM berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap kebimbangan ibu bapa dan penjaga mengenai kesihatan anak-anak yang bersekolah ketika situasi jerebu masih berterusan di beberapa kawasan di seluruh negara.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga diminta supaya peka dan sentiasa mengikuti pengumuman rasmi PPN menerusi saluran komunikasi JPN, PPD dan sekolah bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status pengoperasian sekolah.
“Kerjasama dan perhatian semua pihak khususnya ibu bapa dan penjaga dipohon supaya cakna terhadap pengumuman oleh PPN yang akan dibuat menerusi saluran medium komunikasi rasmi JPN, PPD dan saluran komunikasi yang terdapat di sekolah masing-masing,” katanya.
From: srul
© New Straits Times Press (M) Bhd




