ReiQi Space kini miliki premis sendiri di Petaling Jaya

ReiQi Space kini miliki premis sendiri di Petaling Jaya

Kuala Lumpur : Selepas beberapa tahun mengendalikan sesi persendirian dan bengkel di pelbagai lokasi, ReiQi Healing Services kini mengorak langkah baharu dengan melancarkan premis rasminya, ReiQi Space di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Majlis perasmian yang berlangsung di Wisma Giftlab pada 4 Oktober lalu disemarakkan dengan persembahan tarian singa tradisional, upacara pemotongan riben, serta kehadiran lebih 100 tetamu merangkumi ahli komuniti dan pengamal terapi alternatif.

Pengasasnya, Master Zac Lee berkata, pembukaan premis tetap berkenaan menterjemahkan fasa baharu dalam perjalanan kerjayanya yang bermula daripada bidang perbankan sebelum beralih ke alam amalan kerohanian dan terapi tenaga secara penuh masa pada 2021.

“Tahun 2021 menjadi kemuncak momentum kehidupan saya untuk menceburi bidang ini secara sepenuh masa. Bermula dengan sesi persendirian, ia kemudian berkembang kepada bengkel berkumpulan sehingga terbina sebuah komuniti pelajar.

“Memiliki ruang khas ini akhirnya membolehkan kami mewujudkan persekitaran harmoni untuk orang ramai belajar, bertanya soalan, merasai amalan ini secara langsung, dan mengembangkan amalan mereka sendiri,” katanya.

Impian memiliki premis sendiri itu turut direalisasikan menerusi sokongan dua rakan kongsi, Rosman Jasmi dan Jason Ong yang juga pengasas perniagaan Pods & Petals Giftlab.

Zac yang memegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam Terapi Qigong di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta pensijilan Usui Reiki Level 4 Master Teacher menjelaskan, ReiQi Space menggabungkan perubatan Qigong dan Usui Reiki menerusi pendekatan pembelajaran bersepadu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Malaysia Society for Complementary Medicine (MSCM) menambah, pusat berkenaan kini dibuka untuk temujanji sesi persendirian, bengkel pengenalan, program pembelajaran terstruktur, serta amalan kumpulan kecil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top