sukan@hmetro.com.my
Kuching: Kuching City FC mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Kelantan City FC dengan agregat 4-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak meneruskan kemaraan dalam saingan piala domestik selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi pertama.
Beraksi di laman sendiri, The Cats tampil agresif sejak wisel permulaan dengan menguasai permainan serta melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan pelawat.
Percaturan Aidil yang mempertaruhkan formasi 4-3-3 membuahkan hasil apabila Kuching City membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi tandukan Yuki Tanigawa hasil sepakan penjuru Nazmi Faiz.
Bagaimanapun, jaringan itu terlebih dahulu disemak menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum disahkan selepas bola didapati melepasi garisan gol.
Kuching City terus menggandakan tekanan dan memperoleh gol kedua pada minit ke-17 apabila hantaran Joao Pedro disudahkan Ajdin Mugajic untuk meletakkan tuan rumah selesa di hadapan.
Kelantan City bagaimanapun tidak mengalah apabila merapatkan jurang menerusi jaringan Hadin pada minit ke-45, hasil rembatan padu dari jarak kira-kira 30 meter yang menewaskan penjaga gol Kuching City, Shahril Saari, untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Memasuki babak kedua, Kuching City kembali memperkemas serangan sebelum Mugajic mencetak gol keduanya pada minit ke-67, menyempurnakan hantaran Ramadan Saifullah untuk mengukuhkan kedudukan tuan rumah kepada 3-1.
Tersentak dengan jaringan itu, pelawat cuba mengimbangi perlawanan dengan melancarkan serangan balas namun gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Mugajic kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-81 apabila sekali lagi memanfaatkan hantaran Ramadan bagi melebarkan kelebihan Kuching City kepada 4-1.
Mugajic hampir melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan keempat peribadi pada minit ke-90 selepas menyudahkan hantaran lintang Dylan Wenzel-Halls.
Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan pengadil selepas semakan VAR mendapati beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan, membolehkan Kuching City melangkah ke separuh akhir.
Kuching City kini menantikan pemenang antara Selangor FC dan Star City FC bagi menentukan lawan mereka pada peringkat separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




