96 motosikal disita JPJ Negeri Sembilan

96 motosikal disita JPJ Negeri Sembilan

SEREMBAN: Sebanyak 96 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang penguatkuasaan Sempena Tahun Baharu Cina 2023.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam operasi itu sebanyak 8,657 buah motosikal telah diperiksa dan 570 buah daripadanya diambil tindakan manakala 1,106 buah motosikal disaman.

“Tumpuan operasi ini adalah di laluan-laluan utama motosikal di sekitar Seremban dan Nilai. Penguatkuasaan ke atas penunggang motosikal ini memfokuskan kepada kesalahan berkaitan lesen memandu, lesen kenderaan motor dan juga kesalahan-kesalahan teknikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan khas itu juga bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. 

“JPJ Negeri Sembilan sentiasa memandang serius kesalahan-kesalahan yang melibatkan penunggang motosikal. 

“Di samping penguatkuasaan, JPJ juga secara berterusan melaksanakan advokasi terhadap mereka bagi memberi kesedaran berkaitan pematuhan peraturan lalu lintas dan juga keselamatan semasa di jalan raya,” katanya.-UTUSAN.