Alor Setar : Ketua Jurulatih Kuching City FC (KCFC) Aidil Sharin Sahak memuji pemainnya yang tidak menyerah kalah dan akhirnya mampu bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman semalam.
Menurut Aidil Sharin, pemain skuad Kuching City berjaya memberi tentangan melalui strategi yang dirancang untuk berdepan pasukan seperti Kedah di laman mereka sendiri iaitu Stadium Darul Aman semalam.
“Saya bersyukur dengan keputusan seri ini kerana satu mata yang kami perolehi ini sangat bernilai buat kami. Saya juga memuji aksi pemain menunjukkan kerjasama baik serta semangat yang tinggi untuk berjuang hingga ke saat akhir dan mampu bangkit mengikat keputusan perlawanan ini selepas kami ketinggalan dengan satu gol.
“Sepatutnya pada babak pertama lagi kami berpeluang mendapatkan dua gol, namun tidak menjadi kenyataan dan Kedah pula menambah kekuatan pada babak kedua hingga mereka menjaringkan gol pertama.
“Kami akhirnya melakukan beberapa pertukaran yang mana tindakan itu memberikan kelebihan seperti kemasukan penyerang Kipre Tcheche pada babak kedua dan seterusnya berjaya mendapat sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan dan berjaya mendapat satu gol buat kami,” katanya selepas tamat aksi Liga Super semalam.
Aidil Sharin turut berkata, melihat kepada skuadnya yang juga sebuah pasukan baharu dibentuk pada musim ini, beliau jangkakan Kuching City akan menjadi sebuah pasukan yang lebih kuat dan dikalangan kelompok empat pasukan teratas Liga Super dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
“Kami tidak mendapat banyak peluang untuk menjalani aksi persahabatan di Borneo di mana usaha penting bagi meningkatkan momentum kami bagi berdepan cabaran semasa.
“Namun saya yakin dalam tempoh tiga tahun dari sekarang pasukan ini akan menjadi sebuah pasukan yang lebih kuat dan diharapkan berada dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Super kerana kami memiliki pemain seimbang termasuk dari kalangan pemain muda tempatan dan juga pemain berpengalaman di bawah umur 30 tahun.
“Ini satu persiapan yang baik di mana dengan memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi dapat mempercepatkan lagi peningkatan mereka walaupun ia akan mengambil masa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




