norhayati_nordin@hmetro.com.my
PERPECAHAN berlaku dalam kumpulan muzik adalah perkara biasa apabila sampai masa seorang atau lebih mula ‘angkat kaki’ membawa haluan sendiri disebabkan pelbagai faktor.
Begitu juga dugaan yang terjadi dalam kumpulan hip hop popular asal Sabah iaitu K-Clique pada 2022 selepas Tuju mengambil keputusan meninggalkan tujuh rakan lain untuk bergerak solo.
Justeru, timbul dakwaan berlaku perselisihan faham antara mereka menyebabkan Tuju keluar daripada K-Clique yang dianggotai oleh MK, Noki, SoMean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas.
Kini walaupun tiga tahun sudah berlalu, tetapi insiden lama itu seakan-akan masih ‘berbekas’ tatkala MK atau nama sebenar, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 30, ditanya mengenai hubungan persahabatan dengan Tuju.
Apatah lagi, K-Clique yang masih aktif dalam industri akan terbabit menjayakan persembahan Urban Hip Hop di Megastar Arena Bukit Bintang pada 10 Mei depan dan apakah Tuju turut diundang?
Bertemu MK yang juga dikenali sebagai pelakon di set penggambaran filem Black Ops: Operasi Serigala arahan bersama Syafiq Yusof dan Chui Tze Yiu baru-baru ini, dia memaklumkan sudah lama tidak berhubung dengan Tuju.
“Saya sebenarnya tidak ada nak komen apa-apa lagi tentang Tuju dan mendoakan yang terbaik buat dia. Cuma, saya pun nampak ada banyak lagu yang dihasilkannya sejak aktif bergerak solo.
“Alhamdulillah, saya doakan karier seni Tuju terus berkembang maju dan rezeki sentiasa murah untuk dia serta keluarganya. Saya secara jujur, sudah lama tidak hubungi dia (Tuju). Tetapi, kami tiada masalah pun.
“Kalau berjumpa sebab ada kerja bersama, kami mesti buat sahaja dan kemudian habis begitu. Macam tempoh hari, ada kerja untuk lagu Risiko dan kami masing-masing bersikap profesional,” katanya.
Bapa seorang cahaya mata perempuan ini menyifatkan persaudaraan antara mereka semua anggota K-Clique termasuk Tuju tidak putus meskipun sudah ada haluan sendiri.
Katanya, sebagai manusia biasa sesiapa sahaja berhak membuat keputusan yang dirasakan baik untuk karier dan kehidupan serta tindakan itu perlu dihormati seadanya.
“Macam Tuju yang sudah buat keputusan dia (tinggalkan K-Clique), jadi kami (K-Clique) juga pun ada keputusan kami sendiri. Dalam soal ini, kami semua masing-masing sudah dewasa dan matang.
“Kami sekarang, lebih baik jalani sahaja ke depan. Perkara pun sudah lama (berlaku), tiga tahun dan saya percaya masing-masing juga dah ‘move on’. Tetapi, terus doakan yang baik-baik sahaja.
“Apa pun, mengenai persembahan pada Urban Hip Hop itu memang tak ada kehadiran Tuju bersama K-Clique. Sejujurnya, saya tidak jemput dia.
“Sebab dalam K-Clique, kami tiada ketua (kumpulan). Memang tak ada kerana kami guna kata sepakat iaitu berbincang dan berkumpul. Kalau ‘on’ (jadi), kami akan kasi jadi ikut majoriti,” katanya.
Apa yang pasti, sebelum ini Tuju atau nama sebenar, Muhammad Azree Shah Awang Zamree, 30, juga dalam kenyataannya pernah memberitahu keputusan meninggalkan K-Clique dilakukan atas kehendak sendiri.
K-Clique yang meledak dalam industri menerusi lagu Mimpi pada 2018, pernah memenangi Anugerah ERA Digital Muzik pada 2019 dalam dua kategori iaitu Lagu Featuring Hit serta Rappers Paling Onz.
Tidak hanya itu, K-Clique juga mendapat pencalonan dalam Anugerah Muzik Eropah MTV untuk kategori Best Southeast Asian Act, Anugerah MeleTOP ERA (Grup/Duo MeleTOP) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-33 (Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular) pada 2020.
Mengenai kehidupan peribadi pula, MK yang mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan, Siti Hajar Syeikh Nordin pada 2023 memaklumkan dan isteri kini mengulit bahagia selepas kehadiran anak, Aya Rayana berusia dua tahun.
Katanya, mereka berdua saling membantu dan bersama-sama menguruskan anak tersayang tanpa mengupah pengasuh tetap kerana itu lebih memudahkan walaupun suami isteri sibuk bekerja.
“Apa pun, isteri saya banyak membantu dalam menguruskan anak kerana dia bekerja dari rumah dan mengusahakan perniagaan secara atas talian (online). Jadi, rasanya kami masih tidak memerlukan pengasuh tetap.
“Selain itu, isteri juga sangat memahami kerjaya saya sebagai anak seni. Cuma kalau kami berdua agak sibuk dengan pelbagai urusan kerja, ada individu yang dipercayai akan membantu menjaga anak di rumah,” katanya.
Menurut MK, bagi memastikan keselamatan anaknya menjadi keutamaan, dia memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah, manakala individu menggalas tanggungjawab menjaga Aya Rayana pula sentiasa dipantau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




