Kuala Lumpur : Di sebalik cabaran ekonomi yang semakin kompleks, komuniti usahawan di bawah bimbingan RichWorks Group Holdings Berhad (RichWorks) membuktikan kebangkitan luar biasa apabila berjaya menjana jualan terkumpul mencecah RM15.1 bilion sepanjang tempoh tahun 2021 hingga 2025.
Kejayaan itu turut menyaksikan RichWorks menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebagai penyedia program pementoran keusahawanan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terbesar di negara ini.
Pengiktirafan terbabit diberikan berdasarkan rekod seramai 4,302 usahawan yang dibimbing sejak 2021 sehingga Februari 2026, sekali gus membuktikan keberkesanan modul pembangunan yang dilaksanakan.
Mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka semata-mata, sebaliknya mencerminkan perubahan menyeluruh daripada segi pemikiran (mindset), kepimpinan dan strategi bisnes.
“Kejayaan ini lahir daripada tindakan konsisten para usahawan yang mengikuti bimbingan serta kesungguhan mereka untuk terus berkembang dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” katanya.
Sebagai kesinambungan usaha memperkasakan ekonomi tempatan, RichWorks melancarkan program baharu dikenali sebagai “Potensi 2026: Kenali & Kuasai Potensi Diri, Wang dan Bisnes” yang dijadualkan berlangsung Mei ini.
Inisiatif berkenaan dirangka khas bagi membantu usahawan mendepani tekanan kos operasi, isu aliran tunai serta perubahan pasaran yang pantas melalui pendekatan praktikal.
Antara fokus utama program berkenaan adalah pembangunan dalaman iaitu bagi memperkukuh ketahanan mental agar tidak mudah berputus asa selain strategi kewangan dalam mengurus wang serta perniagaan dengan lebih sistematik.
Disamping memikirkan tindakan praktikal yang merangkumi perubahan strategi bisnes yang relevan dengan ekonomi semasa.
Program ini bertujuan membina keyakinan diri usahawan supaya mereka mampu menyesuaikan diri dan kekal relevan walaupun berdepan ketidaktentuan global.
Dengan pendekatan holistik yang menyentuh aspek pengurusan pemasaran dan operasi, RichWorks berharap lebih ramai pemilik bisnes tempatan dapat meningkatkan daya tahan dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




