Shah Alam : Jawatan dalam perkhidmatan awam adalah satu amanah yang berat dan bukannya satu keistimewaan untuk kepentingan peribadi.
Itu peringatan tegas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain kepada barisan pengurusan tertinggi agensi itu agar setiap keputusan yang dibuat sentiasa berteraskan ketelusan dan kepentingan awam.
Beliau berkata, langkah proaktif perlu diambil bagi mendepani cabaran integriti, selaras dengan inisiatif Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang kini diperluaskan ke peringkat agensi negeri Selangor.
“Integriti adalah asas kepada kepercayaan rakyat. Tanpanya, segala pencapaian dan kecekapan sesebuah organisasi tidak akan memberi makna yang sebenar.
“Sebagai pemimpin, kita perlu menjadi contoh teladan dalam mengamalkan disiplin serta tanggungjawab moral yang tinggi,” katanya ketika merasmikan Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) di sebuah hotel, di sini.
Hadir sama, Timbalan Datuk Bandar, Mohd Zary Affendi Mohd Arif.
Kursus intensif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha MBDK memastikan barisan kepimpinannya kekal relevan dan berwibawa dalam era teknologi.
Antara fokus utama kursus termasuklah kelestarian tadbir urus seperti mengadaptasi teknologi dalam pengurusan tanpa mengabaikan etika dan ejen perubahan di mana peranan Ketua Jabatan dalam membentuk budaya kerja bebas rasuah.
Program itu turut menampilkan pakar sebagai penceramah iaitu Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Datuk Norazmi Mohd Narawi dan Penasihat Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Khairul Anuar Che Azmi.
Melalui pelaksanaan MPGIA, MBDK mensasarkan untuk terus bersih daripada sebarang bentuk salah laku kuasa.
Langkah ini penting bagi memastikan bandar raya diraja itu terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Klang melalui sistem pentadbiran yang berintegriti tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




