UAE keluar OPEC bakal ubah landskap pasaran tenaga

UAE keluar OPEC bakal ubah landskap pasaran tenaga

PETALING JAYA: Keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk keluar daripada pakatan kartel Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan OPEC+ bakal mengubah landskap pasaran tenaga global.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dengan tindakan ini, UAE berpeluang meningkatkan pengeluaran minyak dan gas tanpa terikat kepada kuota yang sebelum ini ditetapkan oleh OPEC.

“Justeru, sekiranya perang ini berakhir, sudah pasti bekalan bahan api akan meningkat dan membolehkan harga pasaran untuk turun daripada paras semasa.

“Namun, buat masa ini, harga minyak mentah kekal tinggi disebabkan ketidakpastian apabila krisis ini akan berakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, sistem kartel dalam pasaran komoditi sering dikaitkan dengan kesan negatif terhadap kecekapan harga kerana ia boleh mengehadkan mekanisme penawaran dan permintaan sebenar, sekali gus mengganggu isyarat harga kepada pemain industri.

“Apabila pengeluaran dan bekalan bahan api meningkat, harga lazimnya akan menurun secara semula jadi.

“Keadaan ini boleh mengurangkan margin keuntungan syarikat minyak dan gas, seterusnya mendorong industri untuk mencari sumber pendapatan baharu termasuk dalam sektor Tenaga Boleh Baharu (TBB),” katanya.

Dalam masa sama, Mohd. Afzanizam berkata, peranan harga dianggap amat penting dalam menentukan hala tuju setiap industri kerana ia menjadi asas kepada keputusan pelaburan dan pengeluaran.

“Oleh itu, mekanisme penemuan harga yang cekap, telus dan adil perlu diperkukuh dalam pasaran.

“Dari sudut jangka panjang, perkembangan ini dilihat positif kerana mampu menyokong transformasi sektor tenaga global serta memperkukuh jaminan tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.

UAE, pengeluar keempat terbesar OPEC selepas Arab Saudi, Iran dan Iraq yang sebelum ini pernah menolak kuota pengeluaran OPEC, akan menarik diri pada Jumaat, lapor agensi berita.

Langkah mengejut ini berlaku ketika pasaran tenaga mengalami pergolakan luar biasa apabila eksport minyak dan gas Teluk hampir lumpuh selama dua bulan akibat penutupan Selat Hormuz, yang menjejaskan keupayaan tradisional OPEC mengurus pasaran minyak ketika krisis.

Menteri Tenaga UAE, Suhail Mohamed al-Mazrouei berkata, keputusan keluar daripada OPEC didorong oleh keperluan memenuhi permintaan tenaga global yang semakin meningkat.

OPEC, yang kini mempunyai 12 anggota termasuk UAE, telah berdekad-dekad cuba mengawal pasaran minyak melalui pengurusan bersama pengeluaran minyak mentah.

Walaupun kumpulan ini menguasai kira-kira 80 peratus rizab minyak global, bahagian pengeluarannya telah merosot daripada sekitar 50 peratus pada 1970-an kepada kira-kira 30 peratus hari ini.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, perkembangan semasa membabitkan tindakan negara pengeluar utama yang berpotensi keluar daripada OPEC boleh menimbulkan risiko jangka panjang terhadap kestabilan organisasi itu.

“Langkah UAE misalnya, dilihat sebagai satu bentuk “eksperimen” oleh ahli lain dalam pakatan berkenaan.

“Sekiranya UAE berjaya meningkatkan pengeluaran serta memperoleh manfaat ekonomi yang lebih besar di luar kerangka OPEC, tidak mustahil negara anggota lain akan mengambil langkah serupa.

“Keadaan ini boleh menghakis keupayaan OPEC dalam mengawal pengeluaran minyak dan mempengaruhi harga pasaran global, sekali gus mengubah struktur pasaran tenaga dunia secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top