Campak bayi dari tingkat 38, wanita dipenjara dua tahun

Campak bayi dari tingkat 38, wanita dipenjara dua tahun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang wanita yang mencampakkan bayi yang baru dilahirkannya dari tingkat 38 di sebuah kondominium, tahun lalu.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Lua Mei Zhu, 24, yang mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif selepas representasi yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) diterima oleh pendakwa raya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman terhadap tertuduh yang bekerja di sebuah pusat panggilan itu bermula dari tarikh tangkapan pada 27 Februari 2025.

Pada Ogos tahun lalu, tertuduh pada mulanya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selepas representasi diterima, AGC menawarkan pertuduhan bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya.

Kesalahan itu dilakukan di antara pukul 1.30 tengah hari dan 9 malam di tingkat sembilan, di sebuah kondominium di Sentul pada 26 Februari 2025.

Pertuduhan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda.

Selepas prosiding, Mei Zhu dilihat menangis di kandang tertuduh dan ditenangkan oleh kakaknya serta peguamnya, Loke Kok Mun.

Terdahulu, Kok Mun memohon agar mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap anak guamnya kerana Mei Zhu telah direman selama setahun dua bulan dan ingin kembali kepada keluarganya untuk memulakan hidup baharu.

Beliau berkata, anak guamnya berasa kesal dan menyedari kesilapannya serta menjelaskan kejadian itu berlaku akibat ketidakmatangannya dalam mengendalikan keadaan.

“Selepas berpisah dengan teman lelakinya yang berlainan bangsa dan agama, dia mengalami kemurungan yang berpanjangan.

“Dia mengesyaki dirinya hamil luar nikah pada trimester terakhir, namun tidak mendapatkan pemeriksaan kerana takut akan stigma masyarakat dan kerana berasal daripada keluarga yang konservatif.

“Dia berada dalam tekanan emosi. Dia takut untuk memaklumkan kepada keluarganya kerana bimbang akan rasa malu memandangkan bapa kepada bayi itu berlainan bangsa dan agama.

“Dia berasa pening, keliru dan panik dengan apa yang berlaku di hadapan matanya. Dia mengambil bayi yang baru dilahirkan bersama uri dan mencampakkannya keluar dari tingkap tandas,” katanya.

Beliau berkata, kelahiran bayi itu memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya dan penilaian psikiatri selama tiga bulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak mendapati Mei Zhu mengalami kemurungan dan kini sedang menjalani rawatan dengan pengambilan ubat.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan mencadangkan hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh demi keadilan buat bayi yang tidak berdosa itu.

Jelasnya, wanita itu sebenarnya boleh memilih untuk menyerahkan bayi itu untuk dijadikan anak angkat, tetapi sebaliknya dia memilih bertindak dengan cara berbeza.

“Nyawa telah terkorban. Seorang bayi yang tidak berdosa, yang tidak sempat pun hidup selama tiga minit selepas dilahirkan, telah dicampakkan dari tempat tinggi.

“Pada ketika itu, terdapat ahli keluarga lain di rumah. Oleh itu, tertuduh sepatutnya boleh bertindak dengan cara yang berbeza, namun malangnya dia memilih jalan yang tragis itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, pihak polis menerima laporan mengenai penemuan bayi dalam keadaan kepala telah pecah di beranda sebuah rumah di tingkat sembilan di kondominium itu.

Pihak polis kemudian menyerbu sebuah rumah di tingkat 38 dan menemukan tertuduh berada dalam bilik di rumah itu sebelum menahannya.

Hasil siasatan mendapati punca kematian bayi yang baru lahir itu adalah akibat dicampak melalui tingkap tandas rumah sejurus dilahirkan. – UTUSAN

Scroll to Top