am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Wanita berstatus janda yang hanya berkemban dengan tuala dan seorang lelaki berselimut dalam keadaan berbogel ditemui dalam pemeriksaan Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah bilik di rumah kedai dua tingkat, di sini, pagi semalam.
Pemeriksaan itu dilakukan pada 2.30 pagi selepas penguat kuasa menerima aduan awam berhubung kes khalwat di rumah kedai dua tingkat berhampiran sebuah pasar raya terkenal di daerah itu.
Menurut JAINJ, penguat kuasa yang tiba di lokasi berkenaan mendapati pintu dan pintu jeriji di tingkat bawah rumah kedai berkenaan tidak berkunci.
“Terdapat beberapa bilik yang bertutup dan penguat kuasa mengetuk bilik-bilik berkenaan.
“Di satu bilik, pintunya dibuka seorang wanita selepas kira-kira lima minit diketuk.
“Wanita yang hanya berkemban tuala itu cuba menutup semula pintu tetapi penguat kuasa berjaya menghalang.
“Selepas semua suis lampu dibuka, ditemui pula seorang lelaki sedang baring dalam selimut di atas katil dan apabila diminta bangun, lelaki itu sebenarnya berbogel,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
JAINJ berkata, hasil soal siasat pasangan berusia lingkungan 20-an itu mengaku bukan suami isteri dan bekerja di daerah ini.
“Lelaki itu masih bujang, manakala wanita pula berstatus janda ada anak yang dijaga oleh ibunya di kampung.
“Bilik terbabit juga dikatakan disewa oleh wanita itu dengan harga RM600 sebulan.
“Berdasarkan maklumat awal, lelaki itu masuk ke bilik berkenaan pada jam 11.30 malam dan memberi alasan mahu berehat kerana penat dan tidak berapa sihat,” katanya.
Menurut JAINJ, pasangan itu kemudiannya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.
© New Straits Times Press (M) Bhd




