KEJOHANAN Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor dan Piala Datuk Mokhtar Dahari terus mewarnai kancah bola sepak akar umbi bagi edisi 2026 memastikan bakat muda terus dicungkil dan digilap ke tahap tertinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, sebanyak 96 sekolah akan bersaing merebut kejuaraan edisi kali ini yang dijadualkan membuka tirai secara berperingkat bermula Mei depan.
Menurutnya, saingan itu melibatkan 32 pasukan bagi setiap kategori iaitu bawah 18 tahun (B-18) dan B-15 bagi kategori Piala Datuk Mokhtar Dahari, manakala kategori bawah B-12 bagi saingan Piala Raja Muda Selangor.
“Kejohanan ini telah terbukti menjadi medan penting dalam melahirkan pemain berkualiti dengan ramai pemain telah beraksi dengan pasukan-pasukan di seluruh negara, bukan sahaja di Selangor.
“Selalunya setiap kali aksi perlawanan akhir bagi kategori B-18 dan B-15, akan ada wakil daripada pasukan-pasukan tertentu yang datang memantau.
“Mereka mula memerhati seawal peringkat separuh akhir lagi untuk melihat pemain mana yang berpotensi untuk dibawa masuk ke kelab masing-masing,” katanya selepas Majlis Penyerahan Tajaan Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor dan Piala Datuk Mokhtar Dahari 2026 di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Emran
Dalam pada itu, Emran turut menjelaskan bahawa edisi tahun ini dijangka akan menampilkan kelainan istimewa bagi kategori bawah 15 tahun.
Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhasrat untuk menjadikan kejohanan bola sepak bawah 15 tahun sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan baginda.
“Susulan itu, saya bersama Pengarah Pendidikan Negeri akan menghadap Tuanku dalam masa terdekat untuk mendapatkan perkenan kalau sekiranya diperkenankan kita harap kejohanan bawah 15 tahun yang kita anjurkan ini sebagai kejohanan sempena sambutan itu,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai aspek penajaan, Emran memberitahu kejohanan kali ini mendapat sokongan padu dengan jumlah tajaan kira-kira RM400,000.
Penaja utama bagi kejohanan ini adalah Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Turut tampil sebagai penaja adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Aiman Platinum dan Milo.
Sinar Harian pula merupakan media rasmi kejohanan.



