Sukar sekat aksi spontan

Kuala Lumpur: Program lawak termasuk berkonsep realiti yang disajikan stesen televisyen (TV) tempatan muncul antara rancangan hiburan paling mendapat sambutan penonton, sejak mencetus fenomena, hampir sedekad lalu. Penangan program lawak, hampir semua kandungan TV menyelitkan unsur komedi termasuk dalam penganjuran acara anugerah berprestij yang sebelum ini tidak pernah dikendalikan artis komedi. Cukup hebat penangan lawak, malah, boleh dikatakan, setiap program hiburan termasuk di radio menyelitkan unsur jenaka, seolah-olah tanpa elemen itu, sajian kurang ‘mengancam’.

Namun, sejak akhir-akhir ini, timbul kerisauan dalam kalangan penonton terutama mereka yang berkeluarga dan memiliki anak-anak kecil, apabila pelawak cenderung memasukkan subjek berunsur lucah di pentas jenaka.

Perkara ini dianggap tidak menyenangkan, apatah lagi, program lawak ditonton kanak-kanak yang menjadi peminat setia, malah menganggap artis komedi sebagai ‘role model’.
Apabila isu lawak lucah diperdebatkan, antara pihak dipersalahkan adalah stesen TV yang didakwa tidak sensitif dengan bahan jenaka ditonjolkan dalam program terbitan mereka.
Malah, stesen TV dilihat tidak tegas dalam mengekang insiden itu. Sebaliknya, lebih mengutamakan rating dan aspek komersial berbanding tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Menafikan dakwaan itu, Pengurus Saluran Astro Prima dan Warna, Norzeha Mohd Salleh menjelaskan, sebagai penyiar dan benteng terakhir, Astro bertanggungjawab mengawal penapisan dalam proses pasca penerbitan.

Norzeha berkata, setiap program atau pertandingan diterbitkan Astro terutama saluran Astro Warna, tidak terlepas daripada pemantauan ketat dan garis panduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Setiap peserta dan pelawak yang terbabit dalam mana-mana program terbitan Astro akan diberi taklimat mengenai etika dan garis panduan serta isi kandungan TV yang perlu dipatuhi. “Ini bagi memastikan semua peserta atau pelawak dibekal maklumat penting mengenai perkara berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Norzeha mengulas laporan BH, semalam mengenai kecenderungan segelintir pelawak memasukkan elemen lucah dalam persembahan hingga mencetuskan kerisauan penonton terutama mereka yang mempunyai anak-akan kecil apabila program disiarkan.

Norzeha berkata, bagi program berkonsepkan pertandingan, peserta dan pelawak diberi sedikit kebebasan untuk berkarya selagi tidak melanggar garis panduan ditetapkan.
“Kelonggaran ini diberi kerana sebagai penganjur, kami tidak mahu menyekat atau membataskan karya dan kreativiti mereka di pentas.

“Namun, tidak bermakna mereka diberi lesen untuk melanggar syarat. Jika ada insiden tidak diingini, Astro akan menyunting dan menapis perkataan atau perbuatan yang dilihat tidak wajar atau kurang sesuai dipertontonkan, terutama bagi program siaran langsung,” katanya. Norzeha menambah, setiap program lawak terutama berkonsepkan pertandingan, ada beberapa fasa penapisan isi kandungan jenaka dilaksanakan sebelum siaran. “Setiap peserta perlu menyerahkan draf persembahan dan kandungan lawak kepada penerbit untuk diteliti. “Selepas itu, mereka akan mempersembahkan isi kandungan persembahan atau bahan lawak kepada panel pengawal selia dan penilaian kandungan serta panel produksi yang diwakili penerbit dan penerbit eksekutif secara tertutup.

“Dalam sesi latihan atau ‘dry run’, sekali lagi, persembahan mereka akan diteliti dan dipantau bagi memastikan elemen tidak dibenarkan serta melampaui garis panduan, tidak ditonjolkan. “Pemantauan terus dilakukan pada sesi raptai penuh sebelum peserta dibenarkan beraksi pada malam persembahan secara langsung,” katanya.
Bagaimanapun, Norzeha tidak menolak insiden lawak lucah berpunca daripada aksi spontan atau tindakan mengubah bahan jenaka pada saat-saat akhir. “Ada ketikanya, terjadi insiden apabila isi kandungan dipersembahkan dalam sesi tapisan awal tiba-tiba diubah pelawak tanpa dimaklumkan kepada produksi dan ahli panel. “Ini menyebabkan ahli panel tidak dapat menjangka kemungkinan yang berlaku dalam persembahan terbabit.

“Berdepan situasi ini, suntingan serta-merta dilakukan atas arahan penerbit serta pengawal selia dan penilaian untuk menapis lawak atau istilah kurang sesuai,” katanya. Program Raja Lawak Mega dipelopori Astro Warna mulai 1 April 2011. Sebelum ini, kumpulan Senario yang menghimpunkan pelawak, pelakon dan penyanyi yang lahir daripada program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan mencetuskan fenomena pada 1996.-Sumber: BH

Malay News Desk

Scroll to Top