22 premis I-Serve Online Mall diserbu BNM, lakukan pelbagai jenayah kewangan – Utusan Digital

22 premis I-Serve Online Mall diserbu BNM, lakukan pelbagai jenayah kewangan – Utusan Digital

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu 22 premis milik i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. dan syarikat sekutunya di sekitar ibu negara dan Selangor, semalam selepas disyaki melakukan pelbagai jenayah kewangan.

Operasi bersepadu bersama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta agensi lain seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan CyberSecurity Malaysia turut merampas dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan bersama ini.

BNM dalam kenyataannya berkata, sebanyak 45 akaun di tujuh bank dibekukan serta wang tunai keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta disita.

Katanya, tindakan itu diambil berikutan kesalahan dilakukan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Orang ramai diingatkan mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan.

“Diingatkan hanya meletakkan deposit atau melabur dengan pihak yang berlesen atau berdaftar oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, BNM dan SC menggesa orang ramai supaya berwaspada apabila melabur dengan syarikat tempatan atau asing yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.

Scroll to Top