
Keputusan itu dibuat susulan Teheran mengutuk keras tindakan Washington yang disifatkan seperti ‘lanun maritim’ kerana merampas sebuah kapal kargo milik Iran. – Foto Agensi
TEHERAN – Kementerian Luar Iran pada Isnin menegaskan, pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk menyertai pusingan baharu rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) seperti dijadualkan.
Keputusan itu dibuat susulan Teheran mengutuk keras tindakan Washington yang disifatkan seperti ‘lanun maritim’ kerana merampas sebuah kapal kargo yang didakwa melanggar sekatan yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump sejak minggu lalu.
“Tiada keputusan dibuat mengenai perkara itu,” kata jurucakap kementerian tersebut, Esmaeil Bagaei.
Ia sekali gus menandakan peningkatan semula ketegangan antara AS dan Iran ketika tempoh gencatan senjata yang berakhir pada Rabu.
Trump pula dengan yakin menyatakan delegasi AS akan tiba di Islamabad seperti dijadualkan.
Tentera AS pada Ahad mengundang kemarahan Teheran selepas kapal pemusnah USS Spruance melepaskan beberapa das tembakan ke arah kapal kargo Touska yang berlayar menuju pelabuhan Bandar Abbas.
Iran memberi amaran, mereka akan bertindak balas dan menyasarkan kapal milik musuh.
Pusat Perintah Amerika Syarikat (CENTCOM) di Asia Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya turut mengarahkan 25 kapal komersial lain yang menghampiri ‘zon kepungan’ tentera laut AS supaya berpatah balik.
Konflik Iran-AS yang memasuki minggu kelapan telah mencetuskan kejutan paling teruk dalam sejarah terhadap bekalan tenaga global, sekali gus menyebabkan harga minyak melonjak akibat penutupan Selat Hormuz. – Agensi



