Arlington: Harry Kane meledak dua gol pada separuh masa pertama ketika England menewaskan Croatia 4-2 untuk memulakan cabaran mereka memburu gelaran Piala Dunia di Texas, hari ini.
Jude Bellingham menjaringkan gol sejurus selepas separuh masa bermula, manakala pemain gantian Marcus Rashford menambah gol ketika perlawanan berbaki lima minit bagi memastikan permulaan cemerlang skuad kendalian Thomas Tuchel selepas Croatia bangkit menyamakan kedudukan kepada 2-2.
Kane meletakkan England di hadapan dua kali pada separuh masa pertama termasuk menerusi sepakan penalti, namun Martin Baturina dan Petar Musa bangkit menyamakan kedudukan buat naib juara 2018 itu.
Kedua-dua pasukan kelihatan goyah di bahagian pertahanan dengan separuh masa kedua dijangka dapat menyaksikan lebih banyak gol terhasil dan Bellingham hanya memerlukan dua minit untuk mengembalikan kelebihan England di hadapan lebih 70,000 penonton.
England memiliki banyak peluang untuk melebarkan jurang selepas itu, namun hanya berjaya menambah jaringan menerusi penyudah Rashford.
“Saya berasa perlawanan ini mempunyai dua babak yang berbeza,” kata kapten England, Kane, kepada ITV.
“Saya fikir kami bermain baik pada separuh masa pertama. Kami kecewa melepaskan gol kerasa kesilapan kami, apabila kami mula hilang fokus.
“Kredit harus diberikan kepada pengurus. Dia memberikan kata-kata kepada kami pada waktu rehat dan berkata, jika kami kalah, kami kalah kerana tidak bermain mengikut cara kami sendiri.
“Saya berasa anda dapat melihatnya. Cara kami keluar bermain pada separuh masa kedua, kami menyerang habis-habisan dan mereka tidak mampu menandingi kami,” katanya lagi.
Pertemuan itu mengulangi separuh akhir Piala Dunia 2018 yang dimenangi Croatia selepas masa tambahan dan England selepas mempunyai rekod lebih baik berdepan salah satu skuad paling berusia dalam kejohanan di Amerika Utara.
Pasukan Tuchel yang memburu trofi utama pertama England sejak 1966 memulakan perlawanan dengan agak gugup di stadium yang penuh sesak di gelanggang tertutup berhawa dingin milik pasukan NFL, Dallas Cowboys.
© New Straits Times Press (M) Bhd




