Mohon pengadil bersikap adil atau bakal dikecam – Utusan Digital

Mohon pengadil bersikap adil atau bakal dikecam – Utusan Digital

PETALING JAYA : Selain aksi pemain di atas padang, pengadil perlawanan turut menjadi faktor utama dalam menentukan tempo permainan.

Tekanan hebat  sudah pasti mula dirasai pegawai-pegawai perlawanan terutama mereka yang ditugaskan mengendali perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Penulis menjangkakan sepakan penalti bakal menjadi pemisah buat juara dan naib juara Liga Super musim ini dalam menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia.

Diharap pengadil yang terpilih mengadili perlawanan itu mampu mempamerkan mutu pengadilan bertaraf antarabangsa dengan dibantu oleh sikap profesional pemain kedua-dua pasukan.

Paling utama, tiada campur tangan orang ‘berkuasa’ untuk mengganggu atau mengawal tugas barisan pengadilan.

PEMAIN Selangor, Nor Hakim Hassan cuba melepasi kawalan pemain KL City dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Ahad lalu- UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Selain itu, aksi ‘derby’ Lembah Klang turut menghangatkan saingan Piala Malaysia musim ini namun bekas juara 33 kali iaitu Selangor memerlukan magis untuk mencipta kebangkitan berdepan Kuala Lumpur City (KL City) yang memiliki kelebihan dua gol.

Persoalannya adalah, mampukah Red Giant meleburkan rekod kebal 19 perlawanan tanpa tewas yang dimiliki skuad kendalian Bojan Hodak di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu pada musim ini.

Jawapannya bakal terjawab selepas berakhirnya 90 minit masa permainan dan bagi penulis KL City sudah selangkah menjejak kaki di pentas empat pasukan terbaik.

PEMAIN sayap, Mohd. Faiz Nasir (dua dari kiri) meraikan gol kedua Terengganu FC ketika bertemu Sarawak United dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, Ahad lalu UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Dalam pada itu, Terengganu FC dilihat tidak berdepan masalah untuk mengatasi pasukan Liga Perdana Sarawak United apabila bertandang ke Stadium UiTM, Shah Alam biarpun membawa bekalan tipis selepas melakar kemenangan 2-1 pada aksi suku akhir pertama.

Untuk Melaka United, bekalan satu gol yang dibawa ke Stadium Hang Jebat juga belum membuat pasukan itu selesa kerana Sabah yang kini dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee menjanjikan kejutan.

Pilihan penulis, empat pasukan yang bakal layak ke pentas separuh akhir Piala Malaysia adalah Terengganu, JDT, Melaka United dan KL City.

 

Scroll to Top