KUALA LUMPUR – Baddrol Bakhtiar menjelaskan, keputusannya berhijrah bagi memberi peluang kepada barisan pemain muda mengisi tempat dan menyambung legasinya bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada masa akan datang.
Menerusi Facebook miliknya, pemain tengah berusia 33 tahun itu menegaskan, Kedah tetap berada di dalam hatinya sambil mengucap terima kasih kepada semua penyokong dan pihak pengurusan kelab itu yang menyokongnya selama 16 tahun.
Baddrol akan berhijrah ke Sabah FC selepas menabur bakti selama 16 tahun bersama Kedah sejak 2005.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pengurusan KDA FC dan penyokong pasukan Kedah. Terima kasih memberikan kenangan selama 16 tahun bersama.
“Alhamdulillah Kedah ke AFC…untuk penutup tahun dan musim ini tiba masanya saya memberi laluan kepada pemain-pemain muda untuk menyambung legasi saya di Kedah.
“Saya akui di awal musim saya menerima kritikan yang amat hebat sehingga segelintir penyokong mahukan saya untuk keluar dari Kedah. Namun saya terima kritikan dengan positif dan memberi yang terbaik pada setiap perlawanan untuk pasukan kerana hasrat di hati saya dan pasukan hanya ingin melihat pasukan Kedah sentiasa berjaya dan di puncak,” luahnya.
Baddrol juga menyangkal dakwaan penghijrahannya ke pasukan baharu musim depan berpunca dari kekecewaan dengan Kedah.
“Bukan wang ringgit menjadi ukuran. Bukan masalah tunggakan gaji yang membuatkan saya berpindah pasukan tetapi biarlah saya sahaja yang tahu apa yang terpendam dan terbuku di hati saya yang tak semua orang akan faham. Jatuh bangun saya tetap bersama Kedah.
“Kedah tetap di hati saya, doakan yang terbaik untuk kita semua. Terima kasih Kedah untuk 16 tahun bersama, terima kasih penyokong dan pengurusan pasukan Kedah..tanpa anda tiada lah saya,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette




