harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Reman ke atas seorang Timbalan Yang Dipertua sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang pengarah syarikat disambung hari ini berhubung siasatan penyelewengan dana berjumlah RM230 juta.
Menurut sumber, permohonan sambungan tahanan reman ke atas kedua-dua suspek dibenarkan selama lima hari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam sejurus reman pertama tamat hari ini.
“Perintah reman selama lima hari sehingga 30 April terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Timbalan Pendaftar Faizah Nor Randeran selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.
“Sebelum ini kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sejak Rabu lalu dan susulan tangkapan itu SPRM telah membekukan 33 akaun bank bernilai kira-kira RM150 juta,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, timbalan pengerusi sebuah NGO antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM230 juta.
Difahamkan, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan antara jam 3 hingga 5 petang dalam operasi sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang.
Siasatan awal dalam kes itu mendapati kesemua suspek, dua daripadanya adalah pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024.
Timbalan pengerusi NGO terbabit juga dikatakan sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi.
Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




