am@hmetro.com.my
Melaka: Sindiket penipuan pinjaman tidak wujud secara dalam talian ditumpaskan susulan penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Melaka Raya 23, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan kira-kira jam 11 malam itu dilakukan menerusi operasi khas Op Frontier + III Bil 1/2026 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) daerah.
Menurutnya, premis berkenaan dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud yang menyasarkan mangsa tempatan.
“Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia antara 22 hingga 30 tahun.
“Siasatan awal mendapati suspek utama bertindak sebagai penyelia sindiket, manakala dua lagi berperanan sebagai ejen yang berurusan secara langsung dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Christopher berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mac lalu dengan menggunakan aplikasi mesej serta media sosial untuk menawarkan pinjaman palsu kepada orang ramai.
“Kita turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan rangkaian dengan nilai anggaran RM15,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memperdayakan mangsa melalui tawaran pinjaman tidak wujud,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




