Kuala Lumpur : Bagi menghargai rakan industri dan ejen pelancongan berprestasi tinggi syarikat penerbangan, Saudia Airlines Malaysia menganjurkan Majlis Makan Malam Aidilfitri & Majlis Pengiktirafan eksklusif di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Acara penuh bermakna itu menandakan pencapaian penting syarikat penerbangan berkenaan dalam menghargai sumbangan rakan kerjasama yang memacu kejayaan industri pelancongan dan penerbangan sepanjang tahun.
Majlis diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai tetamu kehormat.
Hadir sama, Pengarah Saudia Airlines Malaysia bagi Asia Timur & Australia, Reham K. Zarei serta Ketua Pegawai Eksekutif GSA Saudia Airlines Malaysia, Datuk Sri Lotfi Lajam.
Antara kemuncak acara adalah penyampaian Anugerah Top 15 Ejen yang menyaksikan syarikat-syarikat besar seperti Andalusia Travel & Tours, Tiram Travel, Juara Travel & Tours, In Saff Travel & Tours dan Az Zuha Group Travel & Tours menerima pengiktirafan atas prestasi cemerlang mereka.
“Sebenarnya ‘award’ (anugerah) ini sebagai tanda kepercayaan orang ramai Andalusia dan Saudia Airlines. Saya rasa ini adalah amanah yang perlu dijaga dengan lebih baik lagi dalam kita berniaga inilah.
“Sebenarnya jemaah kita memberi kepercayaan kepada ‘servis’ (perkhidmatan) yang kita buat,” kata Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris.
Sementara itu, pengurusan Saudia Airlines begitu komited memastikan peranan penting yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan.
“Kami berbangga dapat meraikan pencapaian rakan-rakan yang memainkan peranan penting dalam kejayaan kami. Majlis ini adalah tanda penghargaan terhadap hubungan kukuh yang terus kami bina,” kata wakil Saudia Airlines dalam satu kenyataan.
Selain anugerah ejen terbaik, majlis turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Khas Saudia dan Anugerah Pakatan Strategik, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap kerjasama strategik di Malaysia.
Saudia Airlines terus komited menawarkan perkhidmatan penerbangan bertaraf dunia yang menghubungkan Malaysia dengan Arab Saudi serta destinasi global, sambil memperkukuh kerjasama di seluruh rantau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




