Mohon tambah baik liputan internet di kampung

Mohon tambah baik liputan internet di kampung

Marang: Walaupun lokasi beberapa buah kampung dekat sini tidak begitu jauh dari kawasan bandar, namun masalah liputan internet yang sangat lemah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terganggu.

Masalah itu dihadapi lebih 1,500 penduduk di Kampung Bukit Chempedak, Kampung Jerong Seberang, Kampung Jerong Surau dan Kampung Jerong Tuan dekat Pengkalan Berangan.

Ia memaksa penduduk mengambil inisiatif lain bagi memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan belajar dalam talian.

Seorang buruh, Mohd Noor Azlin Noordin, 34, berkata disebabkan itu, beliau akan ke sekolah anaknya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah untuk mengambil kertas kerja latihan yang dibekalkan guru.

“Memang sukar untuk anak memahami tanpa penerangan yang jelas daripada guru dalam situasinya tak sama dengan melihat video penerangan dalam YouTube seperti murid lain yang ada liputan internet.

“Kami berharap agar masalah ini dapat diselesai segera supaya anak-anak tidak tertinggal dalam pelajaran.

“Namun, saya bersyukur kerana pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Jerong mengambil inisiatif lain untuk membekalkan kerja sekolah dengan cara mengambilnya di pondok pengawal mengikut jadual yang ditetapkan guru kelas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Jerong, Salmah Abd Rahman berkata, 304 daripada 360 murid di sekolah itu adalah dalam kalangan keluarga B40 dan tidak mempunyai peranti mencukupi untuk menjalani proses PdPR dengan sempurna.

“Akses internet juga lemah jadi kami buat keputusan untuk memberi nota dan latihan kepada murid dengan kaedah lain agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Setiap hari kita jadualkan ibu bapa untuk mengambilnya secara bergilir di pondok pengawal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong berkata, masalah capaian internet itu akan diatasi apabila sembilan menara telekomunikasi dibina tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) agar pembinaan menara telekomunikasi ini dapat dilaksanakan segera menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).

“Namun, masalah ini perlu penyelesaian segera, jadi saya turut berbincang dengan Top IT Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan negeri) dan KKMM untuk memasang menara sementara secepat mungkin agar sesi PdPR dapat berjalan lancar sama seperti murid di kawasan lain,” katanya.

Malay News
Technology Desk

Scroll to Top