Projek tanaman durian diarah henti Julai

Projek tanaman durian diarah henti Julai

Alor Setar: Kerajaan negeri sudah mengarahkan projek tanaman durian dihentikan pada Julai 2020 dan video yang tular sejak semalam adalah rakaman lama.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata arahan itu dikeluarkan sebulan selepas mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Arahan dibuat sempena Mesyuarat EXCO kerajaan yang diadakan di Baling. Saya mengarahkan projek tanaman durian yang didakwa menyebabkan banjir itu dihentikan.

“Bersabit video yang tular semalam, saya difahamkan ia adalah video lama sebelum arahan berhenti kerja dibuat pada Julai 2020.

“Saya tidak kenal mereka, sama ada mereka itu syarikat yang diberi hak membangunkan ladang hutan selepas 2013 ataupun syarikat yang membeli projek itu daripada syarikat asal.

“Saya tidak tahu tujuan sebenar ia ditularkan semula. Apa pun saya telah meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan terbabit daripada semua agensi berkaitan. Tindakan berikutnya akan dibuat berdasarkan laporan itu,” katanya dalam kenyataan di media sosial beliau, hari ini.

Dalam video yang tular, seorang lelaki mendakwa akan menjalankan projek tanaman durian terbesar di dunia seluas 12,140 hektar di Gunung Inas, Baling, Kedah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, dasar kerajaan negeri sangat jelas iaitu peraturan mesti dipatuhi dan pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi untuk menjaga kepentingan rakyat.

Katanya, projek ladang hutan mesti ditanam spesies yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan dan durian tidak termasuk spesies itu.

“Pada masa itu (Julai 2020), dilaporkan 2,000 ekar atau 809 hektar sudah pun ditanam durian musang king. Arahan kerajaan jelas, hentikan tanaman durian musang king, kembali kepada tanaman yang dibenarkan untuk ladang hutan ganti di tanah yang diluluskan.

“Tanah yang sudah gondol mesti ditanam dengan tanaman tutup bumi segera untuk mengelak hakisan,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, media melaporkan kerajaan Kedah mengarahkan syarikat yang menjalankan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas di Baling supaya menghentikan segera aktiviti terbabit bagi mengelak berlaku banjir kilat berterusan di Mukim Kupang.

Sumber: Berita Harian

Malay News
Social Media Updates

Scroll to Top