Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung kenyataan berbaur fitnah dalam ceramah

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kenyataan yang dibuat semasa satu ceramah politik di Pahang, Jun lalu.

Anwar selaku plaintif memfailkan tuntutan itu menerusi firma guaman Tetuan S.N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini dan menamakan Tuan Ibrahim sebagai defendan.

Pernyataan tuntutan Anwar mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang merujuk kepadanya ketika berucap dalam satu ceramah politik di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau pada 14 Jun lepas di hadapan orang awam dan wakil media yang hadir.

Beliau berkata klip video ucapan itu kemudian dimuat naik, diterbitkan atau diterbitkan semula pada keesokannya.

Menurut plaintif, setakat tarikh pemfailan tindakan saman itu, klip video berdurasi 11 minit tersebut telah menerima lebih 20,000 tontonan, 482 tanda suka dan 65 komen selain terus boleh diakses, ditonton serta dikongsi oleh orang awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top