Kuala Lumpur: Biarpun pernah meraih trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, penyanyi Wany Hasrita masih merendah diri atau berpijak di bumi nyata.
Wany atau nama sebenar, Nurshazwany Hasbullah, 29, bersyukur ibu selalu mengingatkan dirinya sepanjang perjalanan meniti karier.
“Saya tetap saya, biar setinggi mana pun saya terbang, Insya-Allah saya akan tetap ‘membumi’.
“Saya bersyukur ada ibu yang selalu mengingatkan saya agar tidak lupa diri.
“Ibu adalah teman baik dan selalu bersama. Ibu adalah segala-galanya. Salah satu tujuan melangkah ke dalam industri hiburan juga kerana mahu membahagiakan ibu,” katanya kepada BH Online.
Mengimbas kenangan, Wany berkata, sebelum bergelar penyanyi, dia pernah menjalani hidup susah bersama ibu terutama selepas insan kesayangannya itu diberhentikan kerja.
“Ketika itu, biarpun hidup susah, saya tengok wajah ibu tenang dan tidak putus-putus memberikan saya kekuatan.
“Sejak itulah saya menyimpan impian dan tidak mahu mempersiakan peluang ditawarkan syarikat rakaman, FMC Music.
“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada FMC Music yang percaya dengan bakat saya biarpun ketika itu, saya bukanlah sesiapa,” katanya.
Membuang jauh kesedihan lalu, Wany mahu berfikiran positif dan menempa lebih banyak kejayaan pada 2021.
Mempertaruhkan single baharu, Cinta Khayalan, Wany optimis dendangan itu akan mencipta kebahagiaan buatnya.
“Cinta Khayalan adalah lagu yang paling berat dan susah untuk saya rakam. Lagu ini memerlukan penghayatan emosi yang baik selain saya perlu fokus kepada vokal.
“Inilah kali pertama saya merakamkan lagu yang mengambil masa panjang. Empat kali saya ke studio rakaman bagi memastikan hasilnya betul-betul mencapai tahap dimahukan komposer,” katanya.
Wany gembira dapat keluar dari zon selesa dengan menjayakan lagu ciptaan Farouk Razak dan Amylea Azizan itu.
“Saya jatuh cinta dengan lagu ini. Kalau tidak percaya, cuba dengar dan hayati sendiri.
“Saya mohon anda semua menjadi juri dan tidak teragak-agak memberi komen mengenai lagu dan cara nyanyian saya.
“Saya rela dikritik demi kebaikan kerjaya… Tetapi kritik mengenai lagu saja bukannya kisah peribadi,” kata pemegang ijazah dalam bidang sains perubatan ini.
Wany berharap Cinta Khayalan dapat membawanya ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), tahun depan.
Single baharu Wany dilancarkan pada 5 Februari lalu. Cinta Khayalan boleh distrim di semua platform digital dan video muzik boleh ditonton di YouTube FMC Music.
Sumber: Berita Harian
